Saya merujuk kepada kenyataan terbaru Naib Pengerusi Kebangsaan DAP, Syahredzan Johan, yang menuduh MCA gagal membela komuniti Cina serta menggambarkan parti kami sebagai tidak relevan dalam landskap politik negara.

Tuduhan tersebut bukan sahaja tidak berasas, malah mencerminkan kebimbangan politik DAP sendiri yang semakin kehilangan kepercayaan rakyat - bukan sahaja dalam kalangan masyarakat Cina, malah di seluruh pelosok negara, termasuk di Sabah dan Sarawak.

MCA Terus Konsisten Membela Kepentingan Rakyat

MCA telah berkhidmat selama lebih tujuh dekad dalam kerajaan dan luar kerajaan, memperjuangkan hak pendidikan, kebajikan masyarakat, dan kestabilan antara kaum di negara ini. MCA bukan parti yang hanya berretorik di pentas ceramah, dan tidak menjual harapan palsu atau menjadi juara sentimen kaum semata-mata untuk meraih undi.

Berbanding dengan DAP yang sering mengubah pendirian mengikut arus politik, MCA kekal dengan prinsip rasional, kestabilan, dan penyatuan nasional.

DAP Patut Cermin Diri – Isu Sensitiviti Kaum dan Integriti Sendiri

DAP harus terlebih dahulu menyemak rekod sendiri sebelum membuat tuduhan tidak berasas terhadap parti lain. Kita tidak lupa bahawa kenyataan berbaur perkauman dan tidak sensitif yang mencetuskan ketegangan masyarakat lebih banyak datang daripada pemimpin DAP sendiri berbanding MCA.

Malah, dalam beberapa tahun kebelakangan ini, beberapa pemimpin kanan DAP telah terpalit dengan kes integriti dan siasatan berkaitan rasuah, sekali gus menjejaskan kredibiliti parti mereka di mata rakyat. Perjuangan yang kononnya ‘bersih’ dan ‘telus’ ternyata tidak seindah yang digambarkan apabila diuji dengan kuasa dan kedudukan.

MCA Akan Terus Berjuang Dengan Pendekatan Bertanggungjawab

MCA tidak akan tunduk kepada tekanan politik sempit atau cubaan mencipta persepsi yang bertujuan menutup kelemahan sendiri. Kami kekal komited kepada perjuangan untuk semua rakyat Malaysia dengan pendekatan yang matang, realistik dan menyeluruh.

Kami yakin rakyat kini semakin bijak menilai antara perjuangan tulen dan sekadar sandiwara politik bermusim. Kami di MCA akan terus menjadi suara yang bertanggungjawab dalam memelihara keharmonian negara serta memperjuangkan hak dan kepentingan semua kaum tanpa retorik kosong.

Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
12 Julai 2025