8 Ogos 2018

Kenyataan media Naib Pengerusi Wanita MCA Senator Dato’ Ong Chong Swen

Tangguhkan, kaji semula PIL-1, lebih mahal dari ECRL

Jika kita mengikut logik Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa projek Landasan Keretapi Pantai Timur (ECRL) harus diberhentikan kerana kosnya terlalu tinggi, maka projek Lebuhraya Pan Island Link 1 (PIL-1) yang memakan kos RM9 bilion juga patut dihentikan berikutan pendedahan bahawa kosnya 5 kali lebih mahal pada RM80 juta setiap kilometer. Guan Eng harus bersikap adil dan mengarahkan pemberhentian projek PIL-1 untuk dikaji semula.

Sebelum ini, DAP sering mendakwa projek ECRL adalah “yang paling mahal di dunia”. Selepas mengambil alih kerajaan, Pakatan Harapan telah mengarahkan projek tersebut dihentikan dan dikaji semula. Sekarang, ia didedahkan bahawa projek PIL-1 akan menelan kos sebanyak RM461 juta setiap kilometer berbanding RM80 juta setiap kilometer bagi projek ECRL.   

Alasan hutang negara tinggi sering kedengaran apabila Pakatan Harapan mahu menjustifikasikan pemberhentian beberapa projek mega yang dilaksanakan kerajaan BN terdahulu. Akan tetapi, kerajaan negeri Pulau Pinang Pakatan Harapan sendiri pula meluluskan projek PIL-1 yang lebih mahal walaupun menerima bantahan penduduk negeri sendiri. Ia amat menghairankan mengapa Pakatan Harapan mengambil dua pendirian berbeza terhadap projek ECRL dan PIL-1. Adakah pemberhentian atau kelulusan sesuatu projek dibuat berdasarkan motif politik atau atas sebab-sebab ekonomi? 

Saya menggesa Guan Eng dan Pakatan Harapan bersikap adil, dan menangguhkan kelulusan projek PIL-1 sementara kos tingginya dikaji semula. Ini penting untuk mengelak membebankan rakyat berikutan dakwaan Pakatan Harapan bahawa hutang negara terlalu tinggi.

Selain menangguhkan projek PIL-1, kerajaan negeri Pulau Pinang juga disaran mendengar pandangan penduduk tempatan dan mengambil kira bantahan mereka terhadap projek tersebut. Adakah PIL-1 satu keperluan, dan adakah ia akan menjejaskan alam sekitar negeri, ataupun kesihatan dan kebajikan penduduk? Pakatan Harapan tidak sepatutnya memperlekehkan suara rakyat selepas membentuk kerajaan.

Senator Dato’ Ong Chong Swen
Naib Pengerusi Wanita MCA

-MCA online-