Ketua Penerangan Pemuda MCA, Neow Choo Seong, menyelar tindakan DAP yang dilihat tidak pernah berhenti menyerang MCA meskipun kini sudah berada dalam kerajaan.

Dalam audio siar “Persepsi: Siapa Lebih Jujur Berpolitik” yang disiarkan menerusi Facebook AHF News & Media, Neow yang juga Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional (BN) berkata tindakan DAP yang terus menyerang MCA hanya menunjukkan sifat tidak matang serta keghairahan politik yang tidak pernah padam walaupun telah memegang kuasa.

“Apabila kamu sudah ada kuasa, tak payah serang orang. Tunjukkan sahaja laporan prestasi kamu. Selepas lima tahun rakyat akan menilai," katanya.

Tambah Neow lagi, tindakan DAP menyerang MCA itu tidak ubah seperti “Israel menyerang Palestin” – dilakukan saban hari tanpa sebab munasabah semata-mata untuk melihat pihak lain sengsara.

"Tak perlu nak hapuskan MCA, orang Cina boleh nampak dalam media dan komen (di media sosial), kalau tak ada MCA mereka tak boleh hidup. Tak berseri hidup mereka, hari-hari nak juga (serang).

Selain itu, Neow turut menegaskan bahawa strategi DAP yang suka menyerang parti lain khususnya MCA semata-mata untuk menonjolkan diri sebagai hero politik adalah taktik lapuk sejak mereka bergelar pembangkang.

"Ini adalah strategi politik mereka yang sentiasa mahukan 'visibility dan optic' yang menunjukkan mereka berani bersuara. Tetapi zaman dah berubah ini adalah strategi politik lapuk mereka dari zaman dahulu ketika mereka menjadi pembangkang.

"Kalau berani, suruhlah 'abang long' tarik dan putuskan hubungan dalam BN atau dengan UMNO sendiri. Janganlah nak jadi hero untuk main wayang kulit depan orang Cina sahaja," ujarnya.

Tambah beliau, MCA kekal fokus terhadap agenda membina negara dan memperkukuh tadbir urus, bukannya terperangkap dalam politik kebencian.

“Ada lori ada bas, ada hari pasti kita akan balas, tapi kita balas dengan kebaikan dan keupayaan kita menjaga dan mengurus tadbir negara dan rakyat dengan lebih baik di masa hadapan,” tegasnya lagi.

Neow turut mengkritik kepimpinan DAP yang masih terperangkap dalam budaya politik menyerang dan menghina musuh khususnya mereka yang mempunyai peranan dalam kerajaa pusat mahupun negeri.

"Kalau kerja kamu hari-hari komen pasal politik dan mengutuk, tembak kaki sendiri , siapa nak laksanakan kerja pentadbiran kerajaan negeri?

"Seseorang kalau dah dapat kuasa, masih nak berpolitik , masih nak buat taktik yang sama dengan menyerang dan menjatuhkan martabat musuh politiknya , bagi saya itu tidak gentlemanlah.

"Ibarat bertinju dalam gelanggang, musuh dah rebah masih nak pijak, masih nak mencaci , itu bukan sifat kepimpinan yang terpuji," katanya.


Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
8 Oktober 2025