Parti komponen kedua terbesar Barisan Nasional (BN), MCA yakin parti itu mampu untuk bangkit dan meraih sokongan kaum Cina pada PRU-14 kelak.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata  ucapan Dasar Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Razak hari ini mencerminkan parti utama BN itu mampu untuk memimpin komponen lain meraih kemenangan bergaya. 

“Ucapan yang bersemangat mencerminkan seorang negarawan, saya lihat ucapan Presiden UMNO yang mementingkan negara untuk masa depan anak cucu kita.

“Saya rasa ini adalah ucapan yang cukup baik dan komprehensif memberikan semangat yang baru kepada semua ahli UMNO dan juga parti komponen BN untuk bangkit dan bersiap sedia untuk menghadapi PRU akan datang,” katanya selepas mendengar ucapan Dasar Presiden UMNO, di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra sebentar tadi.

Jelas Menteri Pengangkutan itu, MCA selaku parti kaum Cina telah bekerjasama dengan UMNO sejak merdeka dan memberi kepercayaan penuh kepada UMNO untuk terus memimpin BN.

Malah katanya, MCA telah bersiap sedia untuk menghadapi PRU-14 dengan segala persiapan telah direncanakan sebagaimana yang diimpikan Pengerusi BN, Datuk Seri Najib Razak.

“Kami (MCA) tengah bersiap untuk berperang dalam PRU14 nanti, kami sentiasa turun padang, dan pastikan calon yang kita kemukakan adalah calon yang disukai rakyat,” katanya lagi.

-Barisan Nasional-