Semalam, Mahkamah Rayuan menetapkan 5 Ogos 2022 untuk membuat keputusan berhubung rayuan kerajaan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 September 2021 lalu bahawa kanak-kanak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia yang berkahwin dengan warga asing berhak mendapat kerakyatan Malaysia secara automatik.

Wanita MCA mengikuti secara dekat dan serius berhubung perkembangan kes ini dan sentiasa bersolidariti bersama para ibu yang sedang berjuang mendapatkan hak kerakyatan bagi anak-anak mereka.

Susulan keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 September 2021 lalu, Wanita MCA mendapati ramai golongan ibu yang tampil ke Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) untuk membuat permohonan mendapatkan status warganegara anak-anak mereka yang lahir di luar negara.

Ini menunjukkan bahawa bilangan kaum ibu dan anak yang sedang berjuang mendapatkan status warganegara Malaysia adalah jauh lebih tinggi daripada statistik yang dilaporkan. Wanita MCA menyifatkan keadaan ini amat membimbangkan kerana ia melibatkan isu diskriminasi gender dan hak asasi manusia.

Justeru, Wanita MCA menyeru kepada mana-mana ibu yang berkahwin dengan warga asing dan melahirkan anak di luar negara supaya tampil ke hadapan menuntut hak sebagai warganegara Malaysia. Sebagaimana yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan di bawah Perkara 8 (2), tidak boleh ada diskriminasi terhadap warganegara atas agama, bangsa, keturunan, tempat lahir, atau jantina dalam mana-mana undang-undang.

Dalam masa sama, Wanita MCA sekali lagi ingin menegaskan bahawa kami akan sentiasa berdiri bersama para ibu yang sedang berjuang mendapatkan pembelaan dan kami berharap keputusan Mahkamah Tinggi pada 9 September 2021 lalu dikekalkan di peringkat Mahkamah Rayuan pada 5 Ogos 2022 nanti.

Datuk Heng Seai Kie
Ketua Wanita MCA Kebangsaan
23 Jun 2022

- MCA Online