9 Ogos 2018

Kenyataan media Naib Pengerusi Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting

Perbaiki kereta nasional sedia ada, tak perlu yang baharu

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohammad disaran memperbaiki dan meningkatkan mutu kereta berjenama nasional yang sedia ada, dan bukannya menubuhkan kereta nasional yang baharu.

Walaupun syarikat China Geely telah membeli Proton, tetapi Malaysia masih kekal memiliki 50.1% saham Proton, manakala Geely pula memegang 49.9%. Oleh itu, jika Perdana Menteri ingin membangunkan industri automotif negara, beliau boleh mengambil kesempatan atas teknologi yang ditawar Geely untuk membawa Proton ke alaf baharu tanpa menubuhkan satu lagi kereta nasional yang baharu. 

Malaysia kini memiliki dua jenama kereta nasional iaitu Proton dan Perodua, yang boleh dibangunkan kerajaan Pakatan Harapan untuk membina kenderaan elektrik yang efektif dan menjimat tenaga. Pakatan Harapan boleh membangunkan kedua-dua syarikat tersebut dalam halatuju ke arah industri automotif hijau. Tidak ada keperluan mewujudkan kereta nasional ketiga.

Sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu, mereka sering menggunakan alasan kononnya hutang negara terlalu tinggi untuk mengelak dari menunaikan janji-janji mereka. Akan tetapi, Perdana Menteri sekarang pula mencadangkan satu lagi kereta nasional baharu – Apakah kos ketara dan tidak ketara yang perlu dibiayai rakyat? Dalam lawatannya ke Jepun baru-baru ini, Mahathir juga mengumumkan bahawa beliau akan merujuk kepada syarikat-syarikat automotif Jepun seperti Nissan dan Honda. Berapakah yang perlu dibayar untuk kos perundingan berkenaan?

Jika hutang negara betul-betul terlalu tinggi sepertimana yang didakwa, bagaimanakah kerajaan Pakatan Harapan akan mampu membiayai satu lagi kereta nasional? Cadangan tersebut seakan meludah ke langit terkena muka sendiri.

Atas alasan “menyelamatkan negara”, Pakatan Harapan telah membatalkan projek MRT3 dan “mengecilkan” projek LRT3, tetapi sekarang Perdana Menteri pula sanggup menggadai pengangkutan awam dan menekankan pembangunan kereta nasional ketiga. Bukankah ini lebih membebankan kepada rakyat?

Dari segi keupayaan pembuatan dan penyelidikan automotif, negara kita tidak memiliki keupayaan kewangan dan sumber untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran trend teknologi automotif yang sering berubah. Jika kerajaan masih berpendapat bahawa kereta nasional harus dilindungi, ia akan menyebabkan kereta nasional ketiga menjadi satu lagi projek “gajah putih” yang perlu diselamatkan dengan wang rakyat.

Nicole Wong Siaw Ting
Naib Pengerusi Pemuda MCA

-MCA online-