MCA tidak mahu menjadi penumpang dalam kempen Barisan Nasional (BN) menawan semula Selangor.

Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai, berkata BN memasuki Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) Mei ini, bukan untuk menjadi pembangkang sebaliknya mahu menubuhkan kerajaan negeri di Selangor.

"Bila kita bertanding, kita nak jadi kerajaan negeri. Kita bertanding bukan nak jadi pembangkang. Kita kena pastikan kita menang menjadi kerajaan negeri dan MCA tidak akan menjadi penumpang.

"Kita akan menangkan kerusi dan yang paling penting, undi masyarakat Cina, kita nak tarik balik kepada BN. Kita letak calon yang boleh menang, yang digemari, disukai penduduk, orang ramai.

"Senarai calon dipilih sejak dua tahun lalu dan ia dikekalkan," katanya selepas pengumuman senarai calon BN Selangor untuk PRU-14 di Pejabat UMNO Selangor, di sini, hari ini.

Tiong Lai turut mengakui peluang calon MCA lebih cerah kali ini kerana mereka sudah mula bekerja selepas tersenarai sejak dua tahun lalu.

Apa yang penting, katanya, MCA dapat mencari ahli dan membawa mereka kembali ke pangkuan parti itu dalam usaha untuk memenangkan BN kali ini.

"Kalau dulu kita tak cari ahli, sekarang kita cari ahli. Kita tengok ahli MCA juga dah ramai. Ada peningkatan sebanyak 30 peratus lagi bilangan pengundi kita kerana kita mencari mereka.

"Mereka jadi ahli MCA tetapi jika kita tidak mendekati, mereka tidak akan balik mengundi. Kali ini kita akan tarik balik semua ahli MCA dan mendapatkan sokongan pertubuhan Cina untuk menyokong MCA dan BN, ...jadi kita lebih yakin kerana persediaan kita lebih baik," katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan negeri pimpinan PKR sebelum ini juga mempunyai banyak isu termasuk membabitkan air, sampah dan tanah ekoran kegagalan mereka melaksanakan janji dan aku janji mereka pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Justeru, katanya, pengundi di Selangor perlu memberi peluang kepada BN supaya kerajaan negeri dan kerajaan Persekutuan dapat selari supaya projek pembangunan dapat dilaksanakan dengan lebih cepat.

Ini kerana, apabila pentadbiran negeri diserahkan kepada parti pembangkang, rakyat yang akan rugi kerana pembangunan di negeri itu tidak dapat diselaraskan dan akhirnya terbantut berbanding di negeri lain.

Sementara tu, Tiong Lai yang juga Pengerusi MCA Selangor, berkata parti itu meletakkan calon paling muda di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sekinchan, berikutan MCA kawasan itu bersetuju sudah tiba membawa orang muda pulang ke kawasan itu.

"Lee (Lee Yee Yuan) dari Sekinchan, adalah seorang arkitek. Bapanya ahli veteran MCA. Apabila berbincang dengan jawatankuasa MCA, mereka setuju kena bawa balik ke kampung. Bila tengok ramai orang muda keluar dari Sekinchan, mereka merasakan sudah tiba masanya untuk kita bawa orang muda balik.

"Saya dapati beliau adalah seorang yang berminat dalam politik, seorang profesional dan juga dia digemari, 'likeable' dan mudah didekati serta mendapat tarikan besar dalam kalangan pengundi.

"Dia lebih popular daripada penyandang, Ng Suee Lim kerana Suee Lim sudah lama di sana dan banyak janjinya yang tidak ditunaikan. Kita tahu Suee Lim lebih banyak retorik dan berpolitik daripada berkhidmat kepada rakyat serta kami minta pengundi Sekinchan beri peluang kepada pemuda," katanya.

-Berita Harian-