Letak jawatan jika tak sanggup ditegur
Indonesia menaikkan had umur minimum perkahwinan kepada 19 tahun: Bilakah giliran Malaysia?  

Jawatankuasa integriti kerajaan ‘buang masa, duit’, kata MCA

Pada Isnin    10-06-2019 14:07:00

Dua jawatankuasa kerajaan disifatkan “membuang masa dan duit” berikutan pengakuan perdana menteri bahawa beliau tidak berunding dengan Kabinet berhubung pelantikan ketua pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baru.

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata hari ini bahawa keputusan jawatankuasa khas Parlimen dan jawatankuasa Kabinet mengenai urus tadbir integriti kerajaan “tidak dihormati dan tidak dipedulikan”.

Wee berkata, kenyataan Dr Mahathir Mohamad mengenai jawatankuasa Kabinet Ogos tahun lepas menetapkan bahawa pelantikan ketua pesuruhjaya SPRM yang baru hendaklah dibuat menerusi jawatankuasa khas Parlimen.

Bagaimanapun kata beliau, jelas bahawa Mahathir membuat keputusan unilateral untuk menamakan peguam Latheefa Koya sebagai pengganti Mohd Shukri selepas bekas ketua pesuruhjaya SPRM itu meletak jawatan.

Jawatankuasa khas Parlimen tidak dirujuk, sementara Kabinet tidak diberitahu apa-apa, katanya.

Wee, seorang bekas menteri di Jabatan Perdana Menteri, juga tertanya-tanya sama ada Kabinet sekarang terdiri daripada tukang angguk kerana tidak berkata apa-apa berhubung pelantikan Latheefa yang mencetuskan perdebatan umum.

“Seolah-olah mereka telah melupakan janji yang dibuat dalam manifesto dan dipaksa menerima keputusan Mahathir,” kata Wee di Facebook.

Wee berkata, sebelum ini kedua-dua setiausaha agung DAP Lim Guan Eng dan presiden Amanah Mohamad Sabu pernah berkata Mahathir tidak boleh berbuat sesuka hati beliau selepas Pakatan Harapan (PH) mengambil alih kuasa, dan semua keputusan mestilah dipersetujui oleh parti komponen.

“Jadi apakah yang berlaku? Boleh Guan Eng dan Mohamad jelaskan?”

Terdahulu Mahathir berkata, beliau tidak membincangkan pelantikan Latheefa dengan jemaah menteri kerana tidak perlu bertanya Kabinet tentang pilihannya, selain tidak mahu terikat dengan pandangan mereka.

-Free Malaysia Today-

Berita Berkatian

Apa terjadi janji “pembaharuan institusi” PH?