10 Ogos 2018

Kenyataan Media Setiausaha Pemuda MCA Pahang Quek Tai Seong

Wong Tack patut kemuka bukti jika tidak setuju dengan Dr Xavier

Adakah ahli Parlimen DAP Bentong Wong Tack telah mengubah pendirian beliau susulan jawapan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli Dr Xavier Jayakumar dalam Parlimen bahawa tidak ada bukti saintifik yang menunjukkan penggunaan sianida untuk perlombongan emas di Bukit Koman, Raub, Pahang berbahaya kepada penduduk dan alam sekitar? Beliau yang juga Pengerusi Himpunan Hijau, sebelum ini lantang mengutuk kerajaan mengenai isu ini, tetapi sekarang pula memilih untuk mendiamkan diri.

Sebelum ini, Wong Tack telah memberi gambaran dirinya sebagai seorang pejuang pemeliharaan alam sekitar, dan sering melempar kritikan terhadap perlombongan emas di Bukit Koman, malah juga membawa persatuan Himpunan Hijau menyertai politik dan bertanding untuk kawasan Parlimen Bentong.

Pada masa itu, Wong Tack telah menuduh MCA mengabaikan kesihatan rakyat dan alam sekitar walaupun tidak mempunyai bukti kukuh yang mengaitkan penggunaan sianida di Bukit Koman dengan kesihatan penduduk tempatan.

Malah, beliau juga pernah menyerang MCA dan BN dan bertanya ahli Parlimen Bentong pada masa itu, Dato’ Sri Liow Tiong Lai, jika “seseorang penduduk perlu meninggal dunia sebelum tindakan diambil”.

Malangnya, sejurus selepas dipilih sebagai wakil rakyat Bentong, Wong Tack nampaknya bertukar pendiriannya. Walaupun Dr Xaiver telah menjawab dalam Parlimen bahawa tiada bukti di mana penggunaan sianida menjejaskan kesihatan penduduk dan alam sekitar, Wong Tack tidak menyuarakan bantahan dan membisu sahaja. Adakah ini bermakna beliau telah bertukar pendirian sebelum ini selepas menjadi ahli Parlimen?  

Jika sebelum ini beliau mendakwa ada bukti bahawa kesihatan penduduk dan alam sekitar telah terjejas, mengapakah bukti ini tidak dibangkitkan untuk menyangkal jawapan Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli tersebut? Mengapa beliau enggan menyuarakan bantahan dalam Dewan Rakyat walaupun telah berjaya dipilih sebagai seorang ahli Parlimen?

Oleh itu, sekiranya Wong Tack gagal membuktikan bahawa penggunaan sianida adalah berbahaya kepada penduduk tempatan, beliau haruslah memohon maaf secara terbuka kepada MCA, serta meletak jawatan sebagai ahli Parlimen Bentong kerana telah menipu rakyat!

Quek Tai Seong
Setiausaha Pemuda MCA Pahang

-MCA online-