MCA mendesak DAP berhenti memomokkan kerjasama parti itu dengan UMNO dan PAS yang kononnya dianggap sebagai pakatan bercelaru.

Ahli Jawatankuasa Pusat MCA, Datuk Seri Ti Lian Ker, berkata tindakan menjalinkan pakatan dengan mana-mana parti sekali pun adalah perkasa biasa yang menjadi lumrah politik.

Katanya, walhal DAP pun pernah bekerjasama dengan PAS dan kini pula menjalinkan hubungan dengan parti berasaskan kaum seperti Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

“DAP harus berhenti memainkan isu perkauman yang bersifat ekstrim dalam arena politik. Kerjasama MCA dengan UMNO mahupun PAS adalah lumrah politik dan menjadi amalan DAP selama ini.

“DAP dengan sengaja menjadi penghalang pemupukan silaturahim antara kaum dan agama disebabkan mereka mahu terus bermaharajalela melalui pendekatan pecah dan perintah.

“Mereka mengadu-domba antara MCA, UMNO dan PAS membabitkan isu-isu keagamaan serta perkauman melalui kenyataan yang provokatif selain memaksa MCA selesaikan isu yang sudah pun berlalu dan sudah ditolak ansur,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas kenyataan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang yang mempertikai kerjasama MCA dengan PAS apabila mendakwa parti komponen Barisan Nasional (BN) menyertai ‘pakatan bercelaru’ untuk membangkitkan sentimen perkauman.

Lian Ker yang juga Senator turut mempersoal tindakan DAP yang melampau apabila dengan sengaja menimbulkan tindak balas ekstrim daripada penyokong PAS dan UMNO.

Beliau memberi contoh, DAP pernah memaksa MCA untuk mendapatkan pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) serta merta dan mereka juga akan mengiktiraf sijil pendidikan itu apabila memegang tampuk kuasa kerajaan.

“Di samping menjaja isu UEC, DAP juga berjanji akan meluluskan hak milik geran tanah 999 tahun apabila berkuasa dengan menuduh UMNO adalah penghalang dan MCA pula tidak berani memperjuangkan hak itu untuk tanah kampung baharu.

“Kesemua ini adalah penipuan politik oleh pemimpin DAP. Jelas hari ini DAP adalah racun. Mereka menjadi semakin angkuh sehingga mahu menghapuskan MCA.

“Mereka juga menghalang MCA mencari permuafakatan dan persamaan dengan UMNO-PAS bagi memupuk perpaduan, harmoni antara kaum serta agama,” katanya.

-Berita Harian-