Timbalan Menterinya, Datuk Chua Tee Yong menegaskan, dakwaan tersebut tidak benar sama sekali dan memaklumkan bahawa nilai eksport negara bagi tempoh Januari hingga Oktober tahun ini meningkat sebanyak 21 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

“Ini membuktikan dakwaan tersebut tidak benar dan apa yang lebih penting eksport negara kita tidak tertumpu kepada sebuah negara sahaja, sebalik­nya melibatkan banyak negara.

“Persepsi kononnya eksport negara hanya tertumpu kepada negara China juga tidak benar, sebaliknya kita menjalin hubu­ngan dagang dengan banyak negara dan China hanya merupakan salah sebuah rakan dagang penting negara,” katanya selepas merasmikan Program Back To School UEM Group Parlimen Labis di Dewan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Chaah, dekat sini hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Labis berkata, negara ASEAN menduduki tempat pertama daripada lima pasaran eksport utama negara yang dicatatkan dalam tempoh Januari hingga Oktober tahun ini dengan nilai eksport RM226.28 bilion, iaitu peningkatan sebanyak 20.1 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu.

China pula berada pada tempat kedua dengan nilai eksport RM103.32 bilion, pe­ningkatan 33.5 peratus diikuti negara Kesatuan Eropah (EU) RM78.79 bilion (21.1 peratus), Amerika Syarikat RM74.18 bilion (11.7 peratus) dan Jepun RM61.96 bilion (20.1 peratus).

Tee Yong memberitahu, jumlah dagangan negara sepanjang tempoh tersebut juga mencatatkan peningkatan sebanyak 21.5 peratus dengan nilai RM1.465 trilion.

Menurutnya, peningkatan tersebut membuktikan dan menunjukkan keyakinan negara luar terhadap produk negara dan kejayaan dasar kepimpinan negara yang mengamalkan konsep mempelbagaikan eksport dengan banyak negara.

“Nilai eksport negara mencatatkan jumlah RM772.66 bi­lion, iaitu peningkatan 21.1 peratus, manakala import turut meningkat 21.9 peratus dengan nilai RM692.51 bilion.

“Lebihan dagangan negara bagi tempoh tersebut meningkat sebanyak 14.4 peratus kepada RM80.15 bilion berbanding tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.