10 Disember 2019

Kenyataan Media Naib Presiden MCA Datuk Lim Ban Hong

Ekonomi Malaysia: Dibebani hutang, dibelenggu tadbir urus lemah

Asas kekuatan sesebuah negara adalah status ekonominya. Oleh itu, ia adalah tanggungjawab kerajaan untuk mengenalpasti pasaran berpotensi dan bekerjasama dengan pihak berkenaan. Malangnya, menteri-menteri kerajaan PH dilihat lebih minat berpolitik sesama sendiri tanpa membuat apa-apa untuk mengukuhkan ekonomi.

Sebagai contoh, Menteri Kewangan Lim Guan Eng hanya mampu menambah pendapatan negara dengan memperkenalkan pelbagai cukai baharu, seperti levi pelepasan, cukai minuman bergula, dan cukai perkhidmatan digital. Namun, ekonomi negara masih tidak ‘melonjak’. Lebih mengecewakan, Guan Eng sekarang dilihat lebih minat campur tangan dalam isu peruntukan Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) yang sebenarnya di bawah bidang kuasa Kementerian Pendidikan.

Sejak PH membentuk kerajaan baharu, hutang langsung kerajaan meningkat sebanyak RM94 bilion. Menurut Guan Eng, nisbah hutang kepada KDNK meningkat sebanyak 2.5% daripada 50.1% pada tahun 2017 kepada 52.6% pada Jun 2019. Tindakan kerajaan menjual aset negara dan mengambil pinjaman bon untuk mengimbangi perbelanjaannya bakal meninggalkan kesan negatif dalam jangka masa panjang.

Walaupun negara-negara lain juga mengalami kelembapan ekonomi, tetapi adakah kerajaan PH bertindak memperkenalkan atau melaksanakan pakej rangsangan ekonomi untuk menarik pelaburan asing? Jawapannya tidak.

Lebih-lebih lagi, walaupun banyak aset negara telah dijual, namun hutang negara masih kekal tinggi, malah mencecah hampir tiga kali ganda hutang semasa zaman BN.

Negara sekarang berhadapan pengaliran keluar dana asing sebanyak RM9.9 bilion, dan penurunan 5.77% di pasaran saham Asia Pasifik, kadar pertukaran mata wang yang lemah, kejatuhan eksport sebanyak 6.7%.

Tanggungjawab kerajaan bukan sahaja untuk meningkatkan pendapatan negara, tetapi juga meningkatkan pendapatan RAKYAT. Ini akan memberi rakyat kuasa pembeli yang lebih, sekaligus membawa kepada taraf kehidupan yang lebih tinggi, dan secara langsung mengembangkan ekonomi tempatan. Oleh itu, jika menteri-menteri PH masih enggan mengambil endah keadaan negara, maka Wawasan Kemakmuran Bersama 2030 sudah tentu akan kekal sebagai laungan slogan saja !

-MCA online-