11 Jun 2019

Kenyataan Media Jurucakap Pemuda MCA Lee Yee Yuan

Pemberian 62 AP, bukti sandiwara PH isu import sampah plastik

Pemuda MCA menyokong penuh pendirian Menteri Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim, YB Yeo Bee Yin untuk membanteras import sampah plastik dari negara asing, seperti UK, Bangladesh dan lain-lain. Namun, pendedahan terbaru tentang kelulusan 62 AP untuk membawa masuk sampah plastik menunjukkan pendirian Yeo sekadar retorik yang bertujuan memukau semata-mata.

Ini susulan kenyataan Penolong Pengarah Jabatan Pengurusan Sisa dan Pepejal Negara (JPSPN) Wemi Kalsuna Katerun, bahawa sebanyak 62 syarikat tempatan telah diberi lesen mengimport masuk sampah plastik.

Laporan tersebut amat mengejutkan, dan ramai rakyat berasa kecewa kerana Yeo sebelum ini dilihat tegas membanteras kemasukan sisa-sisa plastik tiba-tiba pula bersandiwara politik.

Ia juga menghairankan mengapa Yeo tidak mengumumkan kewujudan 62 syarikat tempatan berkenaan sebelum ini.

Oleh itu, Yeo digesa mendedahkan senarai nama 62 syarikat tempatan tersebut yang dibenarkan mengimport sampah plastik berserta dengan lokasi masing-masing supaya operasi mereka dapat dipantau rakyat jelata.

Sebenarnya, mana-mana dasar dan usaha jabatan kerajaan sepatutnya dibincang dan diselaraskan terlebih dahulu. Sehubungan ini, kerajaan disaran menubuhkan sebuah jawatankuasa khas yang terdiri daripada jabatan-jabatan yang berkaitan untuk mengkaji cara-cara penyelesaian kemasukan sampah plastik dari negara asing, demi memastikan usaha kerajaan dan wang rakyat tidak disesiakan semata-mata untuk wayang politik.

Walau apa jua cara, kesejahteraan rakyat dan alam sekitar harus diutamakan.

-MCA online-