11 Jun 2019

Kenyataan Media Timbalan Presiden MCA, Dato’ Dr Mah Hang Soon

Kerajaan PH dikhuatiri pandang remeh pencemaran air, 14 mati katak di Kuala Koh

Kerajaan Pakatan Harapan seolah-olah tidak ambil kisah akan nasib orang asli suku Bateq di Kuala Koh, satu petempatan di sempadan Kelantan-Pahang, yang kini dilanda penyakit misteri sehingga menyebabkan 14 kematian setakat ini, dan berpuluh-puluh lagi masih dirawat, namun masih tiada tindakan diambil kerajaan pusat untuk menguji sumber air yang tercemar. Ini amat menghairankan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Waytha Moorthy telah mengesahkan insiden tersebut dan kematian mungkin disebabkan jangkitan pneumonia, yang merebak melalui pencemaran air.

Ia amat mengecewakan apabila kerajaan Pakatan Harapan masih belum bertindak mencari punca “penyakit misteri” serta memberikan rawatan yang sesuai walaupun sebanyak 14 nyawa sudah terkorban, dan berpuluh-puluh lagi masih menerima rawatan.  

Penduduk-penduduk orang asli Bateq kini hidup dalam ketakutan selepas kehilangan 14 ahli masyarakat mereka, namun kerajaan dilihat seolah-olah cuai dan lambat bertindak.

Ia dilaporkan bahawa aktiviti pembalakan dan perlombongan disyaki antara punca pencemaran sungai, tetapi adakah kerajaan mengambil tindakan menyediakan sumber air bersih dan dirawat bagi penduduk-penduduk kampung berkenaan? Adakah sampel air diambil untuk membuat analisis mengenai punca kematian sebenar penduduk kampung tersebut? Apakah tindakan yang diambil untuk melindungi penduduk-penduduk di Kuala Koh ini?  

Sekiranya kerajaan Pakatan Harapan masih gagal mengambil tindakan yang sepatutnya, maka bahaya akan menimpa lebih ramai orang asli suku Betiq ini, yang ramai di antaranya mengalami masalah kulit sekarang.

-MCA online-