10 Julai 2019

Kenyataan media Ketua Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie

Demi keadilan dan kredibiliti kehakiman - Wanita MCA menggesa MB Perak  gantung tugas Exco bagi melicinkan siasatan polis

Susulan tangkapan oleh polis seorang Exco kerajaan Perak yang disyaki merogol seorang pembantu rumah warga Indonesia, suspek tersebut wajar digantung tugasnya, ataupun beliau sendiri patut memohon untuk bercuti, bagi memudahkan proses penyiasatan dijalankan. 

Oleh kerana ini melibatkan kes jenayah yang serius, yang turut diakui oleh Pengerusi DAP Perak Nga Kor Ming, Menteri Besar Dato’ Sri Ahmad Faizal wajar mengambil tindakan segera untuk menggantungkan tugas Exco tersebut, manakala Kor Ming juga sepatutnya mengarahkannya bercuti sementara disiasat.

MCA memuji pihak polis yang mengambil berat akan kes ini serta tindakan pantasnya menahan suspek, memandangkan ini adalah kes berat, lebih-lebih lagi ia melibatkan seorang wakil rakyat serta anggota Exco. 

Peguam suspek, Leong Cheok Keng yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) DAP Malim Nawar berkata, anakguamnya hadir pada malam semalam (9hb) ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh untuk memberi kenyataan, dan telah dibebaskan selepas tidak sampai satu jam pada kira-kira pukul 10 malam yang sama.

Walau bagaimanapun, kami amat keliru bila dimaklumkan bahawa kenyataan peguam dan pihak polis telah dibukti saling bercanggah, kerana hadir secara sukarela amat berbeza sekali dengan ditangkap.

Soalnya , siapakah yang berbohong ?

Namun apa yang lebih penting ialah, keadilan mesti ditegakkan dan  kebenaran haruslah didedahkan, dan rakyat berhak untuk mengetahui keadaan sebenarnya.

Sehubungan itu, kerajaan Pakatan Harapan Perak serta DAP adalah bertanggungjawab untuk memberikan penjelasan terhadap pelbagai keraguan dan persoalan rakyat jelata .

Wanita MCA percaya bahawa yang benar tetap benar dan juga yakin dengan kecekapan dan kebolehan pihak polis dalam menjalankan siasatan mereka dan diharap agar ia dapat disempurnakan secepat mungkin , dan yang bersalah dikenakan hukuman yang setimpal.

Ini penting demi maruah dan imej kerajaan negeri jua negara.

-MCA online-