Mahkamah Persekutuan hari ini telah memberikan pencerahan yang jelas bahawa Parlimen memang berkuasa menggubal undang-undang yang memberi kuasa kepada Menteri Pendidikan menubuhkan sekolah-sekolah kebangsaan serta jenis kebangsaan.

Sebagai bekas-bekas timbalan menteri dalam kerajaan Barisan Nasional dahulu, saya bersama Dato’ P. Kamalanathan akan tetap menyokong sistem pendidikan sedia ada dan ini adalah keputusan terbaik yang menjelaskan bahawa penubuhan sekolah-sekolah vernakular mempunyai asas perundangan yang kukuh.

Sekolah vernakular telah wujud sekian lama semenjak sebelum merdeka lagi. Jadi ini bukanlah isu perkauman mahupun mencabar kedudukan bahasa kebangsaan, tetapi hakikat yang perlu diterima bahawa sekolah vernakular memang menjadi sebahagian daripada sistem pendidikan negara ini sejak dahulu lagi.

Kami mengalu-alukan keputusan mahkamah tersebut. MCA akan terus mempertahankan kedudukan serta pembangunan sekolah vernakular, dan akan memastikan sistem pendidikan pelbagai aliran terus mendapat perlindungan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan.

Datuk Chong Sin Woon

Setiausaha Agung MCA