Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) enggan memberi kata putus berhubung permohonan maaf ahli perniagaan bergelar Datuk Seri yang memukul tiga anggotanya memandangkan kes masih dalam peringkat perbicaraan mahkamah.

Penguasa Kanan Bersekutu RELA Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) merangkap Ketua Undang-undang Kelab RELA WPKL, R Moghan berkata, pihaknya tidak boleh memberi sebarang keputusan berhubung permohonan maaf daripada Liow Soon Hee, 29, sebaliknya menyerahkan sepenuhnya kepada kuasa mahkamah mengambil tindakan selanjutnya.

Katanya, pihaknya tidak mahu keputusan itu mengganggu prosedur perbicaraan.

“Mengenai permohonan maaf itu, kami tidak boleh memberikan sebarang kata putus kerana kes sudah diperingkat perbicaraan mahkamah.

“Apa yang berlaku kepada anggota petugas RELA kami adalah sesuatu yang langsung tidak boleh diterima sama sekali, malah serangan itu dilakukan ke atas petugas kerajaan.

“Semua mangsa juga bersetuju menyerahkan kes kepada mahkamah untuk membuat keputusan,” katanya pada sidang media di Wisma MCA, di sini, semalam.

Turut hadir Timbalan Pesuruhjaya Kehormat RELA Datuk Seri Michael Chong bersama tiga mangsa kes terbabit.

Moghan berkata, pihaknya juga tidak menerima sebarang permohonan maaf secara peribadi daripada suspek sebaliknya hanya mengetahuinya menerusi laporan media.

“Dia (Soon Hee) tidak pernah menyatakan sebarang rasa kesalnya kepada kami secara peribadi sebaliknya kami hanya mengetahuinya melalui laporan media.

“Dia sepatutnya membuat kenyataan maaf secara peribadi dan datang berjumpa pihak kami dan mangsa,” katanya.

Liow dihadapkan dengan empat pertuduhan bagi kes menyerang tiga anggota RELA yang sedang bertugas di sebuah tokong di Kampung Baru Ampang, kira-kira pada jam 6.30 pagi 27 Oktober lalu.

-Harian Metro-