TIMBALAN Menteri Perpaduan Negara, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, beliau mengulaskan isu mural karikatur komunis dekat restoran di Georgetown, Pulau Pinang, atas pendirian sebagai pekerja politik dan bukannya pemain politik.

Selaku pekerja politik, jelas Lian Ker, beliau mempunyai tanggungjawab untuk memberi nasihat supaya isu berkenaan tidak disensasikan sehingga menimbulkan kebencian khususnya kepada kaum Cina.

“Sebagai pemain politik, saya tidak sepatutnya mengulas isu yang sensitif ini, tetapi sebagai pekerja politik saya mempunyai tanggungjawab yang perlu ditunaikan,” katanya kepada Suara Merdeka ketika ditemui di pejabat di Putrajaya hari ini.

Menurut Lian Ker, beliau bukan menyatakan isu berkenaan tidak wujud, tetapi ia adalah isu terpencil dan perlu mengawalnya daripada mencetuskan kebencian dalam kalangan masyarakat.

“Bercakap tentang kebencian komunis, semua benci komunis termasuk Cina, India dan Melayu, bahkan Cina lagi benci kerana dijadikan sasaran dan mangsa komunisme.

“Terdapat pemimpin MCA yang dibunuh oleh komunis kerana dituduh sebagai anjing kerajaan, apabila kita memihak kepada kerajaan dan cuba menjelaskan dasar-dasar kerajaan,” ujar beliau.

Isu berkenaan telah lama, katanya, dan perlu dibangkitkan secara ilmiah bagaimana fahaman komunis yang radikal memberi kesan.

‘Isu ini tidak perlu disensasikan kerana ada isu lebih memerlukan perhatian seperti pandemik Covid-19, ekonomi, pengangguran dan masalah sosial.

“Isu ini parti komunis sudah tidak wujud, kita sudah ada hubungan diplomatik.

“Isu ini hanya isu seorang peniaga, isu individu, jadikan tindakan undang-undang yang tegas oleh pihak berkuasa tempatan atau kerajaan negeri perlu dilaksanakan sebagai bukti kerajaan tidak membenarkan perbuatan sedemikian di negara ini,” jelas beliau.

Tambah beliau, ia boleh diselesaikan dan tidak perlu dibawa sampai kepada perdana menteri.

“Berfikiran lebih kepada perspektif kejituan tindakan dan tahap masalah itu, fikiran berlapis, jangan eksploitasi, jangan sensasi isu ini jadi isu perkara pokok.

“Sedangkan banyak nasihat positif dan benar secara politik dan jangan hanya tengok tajuk dan terus menyerang saya,” kata Lian Ker mengulas pihak tertentu yang menyerang beliau. 

-Suara Merdeka-