12 Jun 2019

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA, Nicole Wong Siaw Ting

Apa terjadi janji “pembaharuan institusi” PH?

Ramai pemimpin Pakatan Harapan telah menyuarakan sokongan terhadap keputusan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam pelantikan bekas pemimpin PKR Latheefa Koya sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM baharu atas alasan bahawa ia “sah mengikut undang-undang”.

Malah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) Liew Vui Keong dan Yang Dipertua Dewan Rakyat Dato’ Mohamad Ariff Yusof juga menyatakan bahawa tiada pindaan undang-undang diperlukan untuk membolehkan Jawatankuasa Khas Pemilihan Parlimen (PSC) untuk Pelantikan Jawatan Awam Utama.

Janji ke-14 dalam Manifesto Pakatan Harapan menyatakan bahawa “Salah seorang dari mereka (pegawai SPRM) akan menjadi Pengerusi SPRM, dan semua pesuruhjaya akan mempunyai jaminan pelantikan tetap (security of tenure). Pelantikan Pesuruhjaya-Pesuruhjaya SPRM perlu disahkan secara demokratik oleh Parlimen.

Oleh itu, jika Pakatan Harapan tidak berusaha meminda undang-undang sedia ada, bolehkah mereka diharapkan untuk melaksanakan janji tersebut? Bagaimanakah mereka merancang mengehadkan kuasa Perdana Menteri? Atau adakah pemimpin-pemimpin PH lebih rela memberi alasan untuk mempertahankan Tun Dr Mahathir daripada menunaikan tanggungjawab mereka?

Jika jawatankuasa PSC tidak memiliki kuasa, maka apa gunanya ia ditubuh? Atau adakah ia hanya satu sandiwara untuk menipu rakyat bahawa Pakatan Harapan kononnya serius dalam meaksanakan pembaharuan institusi? 

Pelantikan Latheefa Koya bukanlah kali pertama Perdana Menteri membelakangkan manifesto Pakatan Harapan, dan kesemua ini jelas membuktikan bahawa janji pembaharuan institusi dalam manifesto mereka sekadar cakap kosong sahaja.

-MCA online-