12 Julai 2019

Kenyataan media Pasukan Pemantau Kerajaan (GMC) MCA

Pertahan kebebasan bersuara ahli akademik - 7 doktor GMC MCA bantah tekanan kerajaan

Tujuh orang doktor falsafah dari Pasukan Pemantau Kerajaan (GMC) MCA hari ini menyatakan keperihatinan serta rasa tidak puas hati terhadap tindakan penasihat media kepada Perdana Menteri, A Kadir Jasin memberi tekanan kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik, sehingga pensyarah sains politik UKM Abdul Muein Abadi yang sebelum ini mendakwa kerajaan Pakatan Harapan telah menjual lebih RM20 bilion aset negara di dalam hantaran Facebooknya, kini dilarang oleh UKM daripada mengeluarkan sebarang artikel politiknya.

Dr Wong Kok Fye: Autonomi dan kebebasan akademik ahli-ahli akademik mesti dilindungi. Pensyarah-pensyarah di universiti mestilah mempunyai kebebasan bersuara yang secukupnya, serta bebas melakukan kajian, pembelajaran mahupun analisis akademiknya untuk memperoleh pengetahuan baharu. Jika tidak, standard akademik kita akan terbantut. Apa-apa bentuk kongkongan dan tekanan politik kerajaan Pakatan Harapan (PH) terhadap pentadbiran universiti, akan membahayakan kemajuan negara pada masa hadapan.

Dr Tee Ching Seng: Mana kebebasan bersuara? Seksyen 19 Deklarasi Sejagat Hak-hak Asasi Manusia (UDHR) meletakkan kebebasan bersuara sebagai suatu hak asasi, dan ini diiktiraf oleh Kovenen Antarabangsa Tentang Hak-hak Sivil dan Politik (ICCPR). Seksyen 19 ini menyatakan, setiap individu mempunyai hak yang tidak boleh dipersoalkan dalam meluahkan pendapat dan bersuara dengan bebas. Hak ini merangkumi kebebasan mencari, menerima serta mengagihkan pelbagai informasi dan fahaman, melangkaui sempadan dan kaedah, seperti lisan, bertulis, bercetak, seni dan sebagainya, melalui apa media terpilih sekalipun.

Dr Au Tai Yiat: Saya berasa terkejut dengan berita pensyarah Abdul Muein Abadi dilarang oleh UKM daripada terus membentangkan artikel politiknya. Adakah ini menandakan hak asasi rakyat Malaysia sedang berundur ke belakang?

Dr Chong Jin Hui: Kerajaan mesti hentikan tindakan ‘white terror’ ini, dan membenarkan rakyat meluahkan pendapat dan komen secara bebas. Insiden ini satu contoh klasik politik menggugat akademik, iaitu satu tindakan politik kerajaan dalam cubaannya menghalang individu daripada bersuara dan bercakap benar.

Dr Lee Weng Chang: Kerajaan sepatutnya memberikan kebebasan kepada golongan akademik untuk menyatakan buah fikiran secara terbuka. Kerajaan baharu harus bersedia menerima pandangan yang berbeza dan konstruktif.

Dr Chee Pao Kam: Perkara seumpama ini tidak pernah berlaku pada zaman pemerintahan Barisan Nasional, tetapi berlaku sekarang di bawah PH. Saya berasa kesal dengan tindakan PH mengganggu kebebasan akademik.

Dr Choo Kok Wah: Kami menyokong sepenuhnya Abdul Muein Abadi dalam mempertahankan hak dan kebebasan bersuaranya, dan berharap beliau terus bersuara demi semak dan imbang terhadap kerajaan PH.

-MCA online-