Kunjungan daripada Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dasuki ke pejabat Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong membuka ruang perbincangan dan mencapai kesepakatan dalam bersama memperbaiki industri p-hailing di Malaysia.

Menurut Ka Siong, dalam perbincangan dua mata yang diadakan, beliau dapat menjelaskan secara terperinci seperti mana yang beliau bicarakan dalam sidang media membabitkan menjaga kebajikan dan melindungi para penunggang p-hailing.

“Begitu juga dengan cadangan bagi memperkenalkan Lesen Vokasional kelak yang bukanlah sama seperti GDL sedia ada yang digunapakai oleh kenderaan berat.

“Pada ketika ini, proses libat urus masih lagi berjalan dan MOT akan terus mengadakan perbincangan dengan pelbagai pihak termasuk persatuan dan penunggang p-hailing, serta syarikat penyedia perkhidmatan bagi kedua-dua segmen e-hailing dan p-hailing (EHO dan PHO),” jelas Ka Siong menerusi hantaran di Facebook rasminya.

Ujarnya lagi, pihak berkeperluan seperti wakil penunggang p-hailing juga dijemput bersama-sama dalam merangka Rang Undang-Undang (RUU) bagi meminda beberapa akta yang berkaitan seterusnya menambahbaik industri tersebut.

Selain itu, Ka Siong menekankan p-hailing adalah satu perkara yang masih baharu yang muncul secara meluas di Malaysia setelah pandemik Covid10 melanda dan disebabkan itu juga masih terdapat banyak hal-hal yang baharu untuk disemak dengan lebih teliti lagi.

“Sebab itu perlunya kita meminda beberapa akta supaya ada punca kuasa bagi membolehkan kita mengawalselia industri p-hailing yang pada ketika ini tiada tempat bergantung harap.

“Apabila p-hailing berada sebumbung bersama teksi dan e-hailing, maka ia dapat memudah dan melancarkan proses kawalselia terutamanya dalam aspek menjaga hak serta kebajikan mereka, termasuk bagi tujuan proses penyaluran insentif atau bantuan seperti kerajaan berikan kepada pemandu teksi dan e-hailing sebelum ini,” jelas Ka Siong.

Dalam usaha memperbaiki indutsri p-hailing, secara tidak langsung MOT juga akan dapat campur tangan sekiranya ada antara penunggang p-hailing yang mendapat layanan tidak adil daripada mana-mana syarikat dalam cubaan mengambil kesempatan ke atas mereka.

Sementara itu, beliau dan kepimpinan MOT menghargai kedatangan Asyraf Wajdi disamping menyambut baik segala input serta pandangan yang disuarakan olehnya dalam perbincangan tersebut demi memastikan industri p-hailing dapat memberi manfaat kepada para penunggang yang kebanyakannya terdiri dalam kalangan belia.

“Terima kasih juga buat Pemuda UMNO kerana turut prihatin dengan isu ini dan sudah tentu kami di MOT amat memerlukan pandangan seperti ini untuk kebaikan bersama,” tambah Ka Siong lagi.

Hadir sama dalam pertemuan ini, Setiausaha Politik Kepada YAB Perdana Menteri, En. Khaizulnizam Mohamad Zuldin; Setiausaha Politik Ka Siong, Dato’ Quek Tai Seong; Ketua Penolong Setiausaha Kanan Bahagian Darat MOT, En. Mohd Kamal Hisham Bin Abu Bakar; Exco Pemuda UMNO merangkap Sekretariat Pekerja Pemuda, En. Fairuz Jamaludin; Presiden Persatuan Penghantar, En. Zulhelmi Mansor; Timbalan Presiden Persatuan Penghantar, En. Hakim Rani; Wakil Rider Grab, En. Ahmad Asmu’ie ‘Isomuddin Bin Ahmad Lokman; Wakil Rider FoodPanda, En. Kairul Anuar Bin Ismail; dan Wakil Rider ShopeeFood, En. Zhafri Azizi Bin Mohd Azme.

- BN News Online-