Cadangan Kementerian Pengangkutan (MOT) untuk meminda Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333) untuk menangani isu lumba haram dan kegiatan ‘mat rempit’ di negara ini menerima pelbagai reaksi.

Ini kerana antara cadangan yang dikemukakan dalam pindaan tersebut ialah menaikkan kadar denda minimum daripada RM300 kepada RM5,000 hingga RM10,000; hukuman penjara sehingga 15 tahun; selain tanggungjawab oleh ibu bapa atau penjaga anak di bawah usia 18 tahun.

Pindaan itu juga akan memperuntukkan tindakan terhadap penonton aktiviti lumba haram dan tindakan tegas terhadap pemilik bengkel yang terbabit dalam ubah suai motosikal bagi kegunaan lumba haram.

MCA memahami reaksi kurang senang daripada segelintir ibu bapa golongan remaja berhubung pindaan ini, namun ia harus dilihat dari sudut positif kerana lumba haram ini termasuk dalam kategori pemanduan secara berbahaya atau melulu yang boleh mengancam nyawa dan keselamatan diri sendiri serta orang ramai.

Ada yang mencadangkan agar kerajaan menyediakan litar lumba bagi golongan ‘mat rempit’ ini. Namun adakah langkah itu akan berkesan? Kita semua faham mereka yang terlibat dengan aktiviti ‘mat rempit’ ini suka berlumba haram di jalan raya kerana ia dilihat lebih mencabar dan menyeronokkan, sehingga lupa tentang keselamatan diri dan orang lain.

Jika kerajaan bersetuju dengan cadangan untuk menyediakan litar ini, berapa banyakkah litar yang perlu disediakan oleh kerajaan di setiap negeri? Bukahkah itu akan menelan belanja yang banyak untuk kos pembinaan, operasi dan penyelenggaraan?

MCA berpandangan bahawa peningkatan hukuman penjara kepada pesalah-pesalah ini adalah lebih baik kerana ia dapat memberi pengajaran kepada pesalah itu sendiri tanpa melibatkan orang lain.

MCA penuh yakin MOT di bawah pimpinan Datuk Seri Ir. Dr. Wee Ka Siong yang juga Presiden MCA, bersama agensi-agensi di bawahnya tidak akan lepas tangan berhubung perkara ini. Mereka turut memperhebatkan kempen kesedaran mengenai keselamatan jalan raya dan memberi advokasi kepada orang ramai.

Bahkan, operasi membanteras aktiviti-aktiviti menyalahi undang-undang termasuk lumba haram di jalan raya turut dilaksana dan dipertingkatkan bersama agensi-agensi lain secara bersepadu.

Marilah kita bersama-sama memainkan peranan memupuk masyarakat yang cintakan nyawa dan keselamatan jalan raya. Begitu juga dengan ibu bapa khususnya yang memiliki anak-anak di bawah usia 18 tahun, bantulah mereka ini dalam menempuhi kehidupan remaja yang penuh mencabar, kerana mereka ini adalah pelapis negara kita suatu hari nanti.

Mike Chong Yew Chuan
Jurucakap MCA
12 Ogos 2022