12 Ogos 2022

Kenyataan media Setiausaha Agung Wanita MCA, Sdri. Saw Ooi Leng

Kerakyatan anak lahir luar negara: Keluarga Malaysia Harus Kaya Empati

Konsep Keluarga Malaysia sudah berusia hampir empat bulan sejak diumumkan oleh Perdana Menteri pada 22 April 2022. “Kita satu entiti yang saling melengkapi, umpama anggota tubuh yang saling memerlukan,” begitu ungkapan Perdana Menteri. 

Serentak itu, besarlah harapan ibu-ibu warganegara Malaysia yang mendambakan agar kes kerakyatan anak-anak mereka yang dilahirkan di luar negara diputuskan dalam semangat Keluarga Malaysia ini.

Malah, dari kaca mata orang ramai, perjuangan ibu-ibu warganegara Malaysia yang sudah sekian lama akan menemukan kejayaan setelah konsep Keluarga Malaysia ini dilancarkan.

Malang sekali, krisis kerakyatan anak-anak ini masih belum menemui penghujungnya. Keputusan kes 2-1 oleh hakim-hakim Mahkamah Rayuan pada Jumaat lepas tidak memihak kepada ibu-ibu ini. 

Terbaharu, Dr Amalina Che Bakri, pakar bedah warga Malaysia yang menetap di Britain dan bersuamikan warga UK, juga menyatakan bahawa beliau terpaksa menerima hakikat bahawa anak yang bakal dilahirkan tidak mungkin mendapat kerakyatan Malaysia. Bukankah negara yang rugi apabila wanita-wanita cemerlang Malaysia dilayan sedemikian rupa?

Di sini, Wanita MCA menyeru Perdana Menteri untuk membentangkan sebuah rang undang-undang pindaan Perlembagaan Persekutuan dalam sidang Parlimen akan datang untuk meminda Perlembagaan Persekutuan agar krisis ini menemukan jalan penyelesaian yang adil dan tuntas bagi semua keluarga terbabit.  Parlimen bertanggungjawab untuk menegakkan keadilan bagi semua keluarga-keluarga yang terjejas.

Saya yakin RUU Pindaan tersebut akan disokong oleh kedua-dua pihak kerajaan dan pembangkang.

Kita ialah bangsa bertamadun yang penuh dengan sifat perikemanusiaan dan sentiasa terbuka untuk membudayakan tradisi empati sesama kita. Sudah tentulah kita tidak mahu melihat warganegara kita menderita sedemikian rupa di tanahair mereka sendiri.

Inilah masanya kita mengangkat prinsip Keluarga Malaysia yang menuntut nilai inklusiviti dan belas ihsan antara semua rakyatnya.

-MCA online-