Kementerian Pengangkutan Malaysia (MOT) telah melancarkan Ekspo Teknologi Rel 2022 (RTX 2022) yang julung kali diadakan menerusi Pusat Kecemerlangan Rel Kebangsaan (NRCOE).

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkongsi pelancaran tersebut yang dijalinkan dengan kerjasama Pertubuhan Industri Keretapi Malaysia (MARIC) dan Agensi Teknologi Depositori (TDA).

“Program yang diadakan di KL Sentral ini telah mendapat sambutan yang menggalakkan dan menarik minat kira-kira 55 buah syarikat.

“Syarikat tersebut terdiri daripada pihak profesional, firma, universiti, agensi tempatan dan antarabangsa untuk mempamerkan teknologi mereka dalam perkhidmatan rel dan logistik di reruai masing-masing,” kata Ka Siong menerusi hantaran di Facebooknya.

Dalam masa yang sama, pelancaran tersebut merupakan usaha keras MOT dalam memberi pendedahan kepada orang ramai tentang perkembangan sektor rel di Malaysia.

Secara tidak langsung, Ka Siong menekankan ia dapat memberi jalan penyelesaian yang mampan untuk menambah baik perkhidmatan rel dari segi keselamatan, kemudahan di stesen dan hal lain yang berkaitan.

“Dalam ucapan, saya turut menggesa pemain tempatan untuk membangunkan teknologi tempatan dalam perkhidmatan rel supaya kita dapat mengurangkan kebergantungan kepada sumber alat ganti dan peralatan dari luar. Kita mesti berusaha untuk menjadi pembekal utama alat ganti dan peralatan rel.

“Selain itu, RTX turut menganjurkan Mini Karnival Kerjaya pada 13 Ogos ini dengan penglibatan 12 syarikat yang akan menawarkan peluang pekerjaan dalam industri rel,” kata Ka Siong lagi.

Selain itu, beliau turut mengucapkan ucapan tahniah kepada penganjur dan peserta yang terlibat berikutan kejayaan RTX yang pertama kali diadakan.

Turut bersama dalam pelancaran tersebut ialah Ketua Setiausaha MOT, Datuk Isham Ishak dan Ketua Perunding NRCOE, Hasry Harun.

-BN News Online-