Dalam masa yang sama, Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon turut menasihatkan semua pihak khususnya ibu bapa agar tidak membebankan kanak-kanak dengan lambakan kerja rumah dengan membeli terlalu banyak buku tambahan.

Katanya, peraturan tidak membenarkan murid membeli buku kerja tambahan sebenarnya bukan perkara baharu sebaliknya pekeliling mengenainya sudah berkuat kuasa sejak 1 Januari 2001.

“Sebenarnya, jika mengikut sistem pendidikan moden, murid tahun satu sehingga tahun tiga sepatutnya belajar secara gembira bukan dibebani dengan semua ini. Ini bukan cara pendidikan yang kita ingini.

“Ini bukan pekeliling baharu ia sudah termaktub sejak 17 tahun lalu. Saya sudah membincangkan perkara ini selama dua tahun lalu, sudah cukup masa diberikan, sudah cukup nasihat diberikan. Mulai tahun depan, kita hendak laksanakan secara lebih serius,” katanya.