Kementerian Pendidikan menegaskan semua Guru Besar dan guru sekolah perlu mematuhi pekeliling penggunaan buku kerja di sekolah rendah bagi mengelakkan bebanan kepada murid.

Timbalan Menteri Pendidikan II, Datuk Chong Sin Woon, berkata pihaknya sudah mengeluarkan 12 pekeliling berkaitan perkara itu sejak tahun lalu, namun masih ada beberapa sekolah yang tidak mematuhinya.

"Pekeliling ini dikeluarkan sebagai garis panduan mengenai penggunaan buku kerja yang perlu dipatuhi semua sekolah rendah seluruh negara dan saya minta kementerian untuk melaksanakan perkara ini dengan teliti mulai 2018.

"Oleh itu, mana-mana sekolah yang ingkar atau tidak mematuhi pekeliling ini boleh dikenakan tindakan tatatertib," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Tegas beliau, penggunaan buku kerja hanya membabitkan murid tahap dua (darjah empat hingga enam) dan hanya satu judul buku kerja sahaja dibenarkan untuk setiap pelajar bagi mata pelajaran teras iaitu Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Bahasa Cina, Bahasa Tamil, Matematik dan Sains.

"Pemilihan buku kerja ini dilakukan oleh panitia mata pelajaran sekolah masing-masing berdasarkan kepada keperluan pelajar dan kesesuaian isi kandungan, mutu serta harga, namun ibu-bapa masih boleh memilih untuk tidak membeli.

"Malah, guru juga tidak boleh menggunakan sepenuhnya buku kerja semasa waktu mengajar di dalam kelas, sebaliknya ia hanya digunakan sebagai sumber latihan selepas guru mengajar konsep dan kemahiran kepada murid.

Sin Woon berkata, harga buku kerja yang dipilih perlu berpatutan dan tidak membebankan ibu-bapa selain perlu dimaklumkan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG).

Tambah beliau, isu terlalu banyak buku kerja sudah lama wujud dan ia menjadi isu di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC), malah kementeriannya turut mendapati perkara itu tidak sesuai dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia (PPPM).

"Kita melaksanakan kelas abad ke 21 dan pengajaran kemahiran berfikir aras tinggi (KBAT) tetapi sekiranya terlalu banyak buku kerja yang digunakan, ia tidak mengikuti serta menepati pelaksanaan PPPM," katanya.

-Berita Harian-