12 Disember 2019

Kenyataan Media Ketua Biro Komunikasi dan Diplomasi Antarabangsa MCA, Dr Tee Ching Seng

Gunakan saluran diplomasi untuk selesai kemelut isu minyak sawit

Penutupan secara rasmi Badan Penyelesaian Pertikaian (DSB)  di bawah Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada 11 Disember 2019 sudah tentu menjejaskan perancangan Menteri Perindustrian Utama Teresa Kok untuk membawa isu tindakan diskriminasi Kesatuan Eropah yang memboikot minyak sawit Malaysia, kepada WTO.

Sehubungan itu, kerajaan PH digesa mengambil jalan diplomatik dan memulakan rundingan dengan negara-negara Kesatuan Eropah dengan serta merta.

Susulan penamatan penggal perkhidmatan dua daripada tiga hakim di DSB, sebuah badan rayuan WTO, pada 11 Disember, ini bermaksud DSB terpaksa ditutup kerana tidak lagi mempunyai kuorum hakim yang cukup, iaitu minima 3 orang sebagaimana termaktub. Kami tidak tahu jika Teresa Kok mempunyai pelan alternatif yang lebih baik, tetapi kami boleh memberikan nasihat kepadanya.

Sekalipun DSB terus beroperasi, rayuan kerajaan Malaysia berhubung tindakan Kesatuan Eropah itu melalui WTO bukanlah pilihan mahupun penyelesaian yang terbaik.

Kerajaan Pakatan Harapan mestilah mengelakkan perang perdagangan, yang menelan belanja besar, atau merayu kepada WTO, yang mungkin menjadi senjata makan tuan jika tidak ditangani dengan berhati-hati.  

Orang yang menyalakan api wajar menjadi pemadamnya. Sebagai sebuah negara pengeksport minyak sawit, Malaysia sepatutnya berunding dengan Kesatuan Eropah melalui saluran diplomasi bagi menyelesaikan pelbagai isu yang berkaitan. Pada masa yang sama, menteri-menteri PH juga wajar menjaga mulut dan kata-kata bagi mengelak daripada membangkitkan kemarahan negara-negara besar, sebaliknya mengambil langkah untuk mempromosikan komoditi negara dengan lebih proaktif.

Jika larangan minyak sawit negara-negara Kesatuan Eropah ini tidak diselesaikan secepat mungkin, ia akan menjejaskan eksport minyak sawit negara, dan menyebabkan harga komoditi terus merudum.  Kami bimbang akan kesannya terhadap kebajikan lebih daripada 600,000 pekebun kecil minyak sawit di Malaysia. Adakah kerajaan PH telah mengambil kira kesusahan yang dihadapi mereka pada masa ini?

-MCA online-