12 Disember 2019

Setiausaha Agung Pemuda MCA Daniel Wa Wai How

Usah mansuh PTPTN - Lebih baik PH bertanggungjawab atas penipuan mereka

Janji Manifesto Pakatan Harapan untuk menangguhkan pembayaran semula hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) antara punca agensi tersebut mencatat jumlah hutang tertunggak yang terlampau tinggi.

Semasa zaman BN, PTPTN telah memanfaatkan pelajar dari keluarga berpendapatan rendah, termasuk pelajar universiti awam dan universiti swasta tanpa mengira kaum.

Pada masa itu, kadar pembayaran balik hutang masih memuaskan, dan para pelajar yang mencapai keputusan cemerlang boleh memohon untuk menukarkan pinjaman PTPTN kepada biasiswa. Ini secara tidak langsung menggalakkan pelajar menjadi lebih rajin untuk belajar.

Selain itu, diskaun turut ditawarkan kepada mereka yang membuat pembayaran balik pinjaman. Langkah-langkah ini membolehkan PTPTN berfungsi dengan baik di samping meneruskan objektifnya untuk membantu para pelajar yang memerlukannya.

Namun, semasa PRU14, Pakatan Harapan telah berjanji untuk memansuhkan semua hutang pinjaman PTPTN kerana terlalu terdesak untuk menang.

Janji tidak rasional tersebut akhirnya telah 'makan tuan'.

Sejak membentuk kerajaan baharu, Pakatan Harapan cuba mengelak untuk bertanggungjawab dengan mengalih perhatian rakyat. Malah ada juga pihak yang mencadangkan supaya terus memansuhkan PTPTN kerana bimbang hutangnya yang tinggi.

Disebabkan penipuan Pakatan Harapan, akhirnya kebajikan rakyat dikorbankan. Jika PTPTN dimansuhkan, berapa ramai pelajar yang akan dinafikan peluang untuk melanjutkan pendidikan mereka kerana tidak mampu membayar yuran pengajian?

PTPTN telah banyak menyumbang kepada rakyat dan negara. Ini tidak boleh dinafikan. Walaupun ada segelintir peminjam yang enggan membayar balik pinjaman mereka, kerajaan sepatutnya mengambil tindakan terhadap golongan ini, dan bukannya berterusan menghukum mereka yang tidak berdosa. 

Jika ada di antara mereka yang betul-betul tidak mampu membayar balik hutang tersebut, kerajaan boleh membantu dengan menawarkan subsidi ataupun bantuan.

Ia harus ditekankan sekali lagi bahawa Pakatan Harapan harus bertanggungjawab atas penipuan mereka. Janganlah menjadikan rakyat yang tidak berdosa sebagai mangsa.

-MCA online-