MCA Selangor melancarkan Pasukan Petugas Kecemasan Banjir Taman Sri Muda yang akan menjalankan tugas-tugas bagi mencari kaedah penyelesaian berhubung isu banjir yang kerap berlaku di kawasan tersebut selain menzahirkan solidariti terhadap mereka.

Pengerusi MCA Selangor, Datuk Ir. Lawrence Low berkata pihaknya telah dihubungi oleh mangsa-mangsa banjir yang meminta agar MCA Selangor dapat bersolidariti dan mengangkat suara agar aduan serta hak mereka tidak diabaikan.

"Antara tugas yang akan dijalankan oleh pasukan kecemasan ini ialah mengemas kini status bencana kepada orang ramai, mengumpul dan menganalisis data, mengadakan penyelarasan bersama pihak berkuasa serta memanjangkan isu berkaitan ke Dewan Undangan Negeri (DUN), Parlimen dan kementerian yang berkaitan," katanya pada sidang media di Pejabat MCA Selangor hari ini yang turut dihadiri kira-kira 50 orang penduduk Taman Sri Muda yang terjejas akibat musibah tersebut.

Beliau yang juga merupakan Naib Presiden MCA berkata, antara aduan yang diterima daripada mangsa banjir di Taman Sri Muda ialah tiada perubahan yang berlaku walaupun kerajaan telah berjanji akan menambahbaik sistem perparitan dan rancangan tebatan banjir selepas banjir besar melanda pada akhir tahun 2021.

"Sidang media hari ini bukan sahaja untuk para penduduk yang hadir, tetapi untuk seluruh warga Selangor yang berdepan masalah banjir. Kita sering kali mendengar kes banjir di Taman Sri Muda, Puchong, Seri Kembangan, Klang, Sepang, Hulu Langat, Gombak dan Sungai Buloh. Nampaknya Selangor sudah menjadi 'negeri banjir',"katanya.

Tambah Lawrence, walaupun Taman Sri Muda telah disenaraikan sebagai 'zon risiko banjir tinggi' sejak 2021, namun masih tiada perubahan besar yang dilakukan oleh pihak berkaitan kerana kawasan tersebut masih dilanda banjir.

"Sekiranya kawasan yang disenaraikan sebagai berisiko tinggi banjir ini pun diabaikan, malah masih dilanda banjir teruk beberapa kali, apa yang boleh diharapkan oleh penduduk yang berada di kawasan berisiko banjir lain?

"Adakah projek-projek tebatan banjir yang dijalankan kerajaan selepas 2021 disiapkan? Adakah projek-projek ini memenuhi tahap piawaian yang diperlukan? Apakah status projek-projek ini? Apa pula terjadi kepada Skuad PANTAS, iaitu pasukan tindakan segera kecemasan banjir yang ditubuhkan pihak berkuasa tempatan?," soalnya.

MCA Selangor turut menuntut beberapa perkara kepada pihak kerajaan negeri dan tempatan sebagai jalan penyelesaian terhadap masalah banjir di negeri itu antaranya pembaharuan segera dasar pengurusan perparitan dan banjir Selangor, penubuhan mekanisme tindak balas kecemasan peringkat negeri bagi bencana banjir dan pembentukan jawatankuasa tindak balas bencana pelbagai agensi.

Manakala berhubung isu letupan paip gas di Putra Heights, terdapat penduduk yang masih tertanya-tanya bilakah siasatan penuh akan didedahkan kepada umum setelah lebih sebulan kejadian berlaku. Begitu juga dengan soal pengagihan bantuan yang didakwa tidak kemas dan teratur; tuntutan insurans dan menuntut penjelasan terperinci daripada pihak yang berkenaan.

Penerangan MCA
9 Mei 2025