
Dakwaan mantan diplomat Singapura, Bilahari Kausikan seolah-olah hanya Perdana Menteri Malaysia menyokong “pendekatan kolektif ASEAN dengan Amerika Syarikat” adalah mengecewakan dan tidak wajar. Kenyataan beliau juga seakan memandang rendah dasar luar negara Malaysia yang dibuat berdasarkan prinsip dan strategi yang logik.
Ditekankan, Malaysia secara konsisten telah memperjuangkan kepentingan perpaduan ASEAN, khususnya disebalik peningkatan isu kompleks geopolitik dan langkah perlindungan perdagangan yang semakin meningkat. Komitmen kami kepada perpaduan ASEAN adalah atas tanggungjawab strategik, dan bukannya untuk berpolitik. Oleh itu, kenyataan Kausikan yang memperlekehkan pendirian Malaysia amat dikesali dan mampu menjejaskan semangat bersama yang amat diperlukan di ASEAN pada masa ini, apatah lagi mengambil kira kedudukan beliau sebagai seorang diplomat.
Turut membimbangkan adalah sokongan yang dituju kepada dakwaan Kausikan oleh isteri bekas Perdana Menteri Singapura dan Pengerusi Temasek Holdings sekarang, Ho Ching. Tindakan beliau dalam mengongsikan kenyataan Kausikan dikhuatiri akan membawa kepada perpecahan dan salah faham di rantau ini terhadap isu yang penuh kontroversi ini. Memandangkan Ho Ching berpengaruh dalam bidang kewangan dan diplomasi, maka tindakan beliau amat tidak wajar dan mengecewakan.
Ini bukan kali pertama di mana tindakan Ho Ching membawa kontroversi. Sebelum ini pada 21 April 2025, beliau telah mengongsikan kenyataan provokatif oleh “Critical Spectator” yang menyamakan Presiden China, Xi Jinping sebagai seorang “bos mafia”. Kenyataan tersebut dipadam kemudian selepas membangkitkan kritikan awam dan diplomasi. Tindakan tidak bertanggungjawab dalam mengongsikan kenyataan menghasut adalah tidak seiring dengan status beliau yang berprofil tinggi.
Ditekankan, Malaysia tidak akan dinaungi atau diketepikan dalam usaha kami untuk memperjuangkan perpaduan ASEAN. Malah, kami juga tidak akan melayan kenyataan menghina yang dibuat seolah-olah analisis yang bertujuan menjejaskan aspirasi kolektif ASEAN. Kami semua di ASEAN harus maju bersama secara berdaya tahan, bersatu padu dan tidak dipengaruhi perpecahan dalaman atau campur tangan luaran.
Tokoh-tokoh awam, khususnya yang masih terlibat dalam institusi berpengaruh di peringkat negara, harus lebih bertanggungjawab dalam mana-mana perbincangan isu serantau. Sekiranya mereka tidak mampu menyumbang kepada kerjasama dan prinsip saling hormat menghormati, maka tidak wajar mereka bersuara.
Malaysia kekal tekad untuk memacu kepentingan negara dan pada masa sama memperjuangkan ASEAN yang lebih kuat serta bersatu padu, yang mampu mengharungi cabaran masa kini.
Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
Pengarah Komunikasi Pemuda Barisan Nasional
10 Mei 2025