Kesilapan mencetak atau menyiarkan Jalur Gemilang yang tidak lengkap atau cacat, tidak sepatutnya terus berlaku dan berulang lagi. Malah, kesilapan sedemikian hendaklah dikenakan tindakan tegas tanpa pilih kasih.

Pemuda MCA turut menegaskan bahawa permohonan maaf tidak seharusnya menjadi penyelesaian setiap kali simbol negara dihina atau disalah guna.

Justeru, siasatan dan tindakan undang-undang yang tegas tetap perlu dikenakan ke atas PAS yang memaparkan Jalur Gemilang tidak lengkap pada logo Himpunan Teguh Memimpin Terengganu 2025 walaupun permohonan maaf telah dibuat.

PAS tentunya masih ingat, pada 16 April, Ketua Pemudanya, Afnan Hamimi Taib Azamudden mengutuk tindakan akhbar Sin Chew Daily yang menyiarkan gambar Jalur Gemilang tidak lengkap sebagai kesalahan besar, tidak patriotik dan menghina kedaulatan negara.

Begitu juga dengan kesilapan pemaparan Jalur Gemilang dalam Laporan Analisis Keputusan Peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang diterbitkan oleh Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) pada bulan lepas.

Oleh yang demikian, Pemuda MCA menggesa kerajaan memandang serius isu ini dan menggubal sesuatu dasar bagi memastikan kesilapan sama tidak berulang lagi demi memelihara Jalur Gemilang sebagai simbol kemegahan, kebanggaan dan kehormatan buat Malaysia.

Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
13 Mei 2025