13 Jun 2018

Perutusan Hari Raya Aidilfitri Presiden MCA, Dato’ Sri Liow Tiong Lai

Salam Aidilfitri kepada seluruh rakyat Malaysia yang beragama Islam.

Sambutan bulan yang istimewa ini tentunya dinanti ramai tanpa mengira bangsa dan budaya. Keceriaan, kesatuan dan perayaan bersama ini melambangkan kekuatan negara yang harus terus kita pertahankan.

Dengan selesainya pilihan raya umum pada bulan lepas, segala prasangka dan caci-mencaci akibat perbezaan politik patut diketepikan. Permusuhan yang berpanjangan hanya akan merugikan rakyat dan negara.

Justeru, Kerajaan baru wajar menghentikan misi membalas dendam terhadap legasi kerajaan terdahulu serta dasar-dasar populis semata-mata untuk publisiti murah. Tunjukkanlah keazaman untuk memperbaiki ekonomi negara dan meningkatkan kesejahteraan rakyat, terutamanya dalam menangani kos sara hidup.

Sempena kehadiran Syawal ini, saya berharap ia memberi peluang kepada kita semua untuk menghayati nilai-nilai murni dan bermaafan-maafan.  Marilah kita sama-sama meningkatkan silatulrahim dan meneruskan tradisi kunjung mengunjung ke  rumah terbuka dengan semangat perpaduan yang erat di antara pelbagai kaum.

Selamat Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir Batin.

Dato' Sri Liow Tiong Lai
Presiden MCA

-MCA online-