13 Julai 2018

Kenyataan Media Naib Pengerusi Wanita MCA Senator Datuk Ong Chong Swen

Pemotongan kos LRT3 bukan satu penjimatan – Guan Eng disaran berhenti mengelirukan rakyat

Dakwaan Menteri Kewangan Lim Guan Eng bahawa kos projek LRT3 berjaya dikurangkan adalah satu penipuan. Ia sebenarnya adalah sebuah “pengecilan drastik” projek tersebut, dan bukannya “penjimatan kos”.

Guan Eng mengumumkan bahawa selepas pengurangan kos, terdapat beberapa perubahan kepada projek LRT3, termasuk:

  1. Pengurangan 42 set tren 6 koc kepada 22 set tren 3 koc

  2. Reka bentuk stesen diubahsuai saiznya
     
  3. Penangguhan pembinaan 5 stesen

  4. Pembatalan projek terowong bawah tanah sepanjang 2km

Pengurangan kos tersebut susulan “pengecilan drastik” ini jelas berbeza daripada “pengurangan kos”. Lim Guan Eng disaran jangan mengelirukan rakyat semata-mata untuk masuk bakul angkat sendiri. 

Susulan perubahan tersebut, tarikh siap pembinaan LRT3 akan dilanjutkan selama 4 tahun, iaitu dari tahun 2020 kepada tahun 2024. 

Menurut Lim Guan Eng, projek LRT3 penting untuk menyelesaikan masalah kesesakan trafik. Akan tetapi, tindakan kerajaan Pakatan Harapan untuk melanjutkan tempoh pembinaan LRT3 bermaksud bahawa rakyat terpaksa menanggung seksa untuk 4 tahun lagi.

Jika projek ini begitu penting, mengapakah tarikh penghabisannya dilanjutkan lagi? Ini satu percanggahan konsep yang ketara.

Selain itu, adakah projek LRT3 boleh menampung keperluan populasi 2 juta penduduk Lembah Klang, malah mengangkut lebih daripada 30,000 penumpang sejam selepas projek ini dikecilkan? Semua faktor ini harus diambilkira sebelum keputusan dibuat secara tergesa-gesa.

Saya menyarankan bahawa kerajaan Pakatan Harapan melaksanakan tanggungjawabnya secara pragmatic dan jujur, dan bukannya hanya bercakap besar.

Senator Datuk Ong Chong Swen
Naib Pengerusi Wanita MCA

-MCA online-