13 September 2017

Kenyataan Media Ketua Pemuda MCA Sdr Tan Chee Hiong

Perbuatan individu Hershel Tan terlampau, wajar diambil tindakan

Kami mengutuk sekeras-kerasnya perbuatan Hershel Tan yang terlampau biadab sehingga berani mengutuk Almarhum Sultan Kedah Abdul Halim Mu'adzam Shah Al-Haj ibni Almarhum Sultan Badlishah yang disayangi rakyat jelata.

Kami menganggap kelakuan mengeji dan menghina tersebut di media sosial merupakan perkara yang tidak beradab dan menunjukkan mereka masih mempunyai minda kelas ketiga. Perbuatan ini telah menimbulkan kemarahan seluruh rakyat Malaysia terutamanya rakyat negeri Kedah kerana Almarhum Sultan merupakan seorang Sultan yang amat berjasa, lemah-lembut, baik hati dan berjiwa rakyat.  Baginda telah menjadi Yang di-Pertuan Agong yang ke-14, sekaligus menjadi Sultan pertama di sejarah Malaysia dimasyurkan sebagai Yang di-Pertuan Agong sebanyak dua kali dan yang tertua ditabalkan. Meskipun usianya telah lanjut, baginda tetap sanggup menggalas tugas demi rakyat yang dikasihinya.

Oleh itu, kelakuan biadab tersebut dianggap sebagai perbuatan individu yang tidak bertanggungjawab, dan tidak sama sekali berkaitan dengan sesuatu kaum, agama mahupun fahaman politik. Janganlah disebabkan individu seperti ini kita sebagai rakyat Malaysia yang sememangnya bersatu padu berpecah-belah. Janganlah kerana nila setitik,  rosak susu sebelanga. Budaya seperti ini harus ditolak sama sekali. Ia bukan sahaja mencalar imej baik negara, bahkan juga mampu gugat keharmonian serta keamanan negara kita ini. Kami berharap agar pihak berkuasa dapat mengambil tindakan sewajarnya terhadap individu tersebut agar perkara seperti tidak akan berulang lagi.

Tan Chee Hiong
Ketua Pemuda MCA Kedah

-MCA online-