Pengerusi MCA Negeri Sembilan, Datuk Lim Chin Fui meminta pengundi Port Dickson menolak Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai tindakan protes kerajaan PH yang sengaja mempermainkan politik dan menyusahkan pengundi.

Menurut Lim, pengundi Port Dickson perlu bijak menggunakan undi di tangan mereka untuk memberitahu kepada Anwar dan PH bahawa agenda demokrasi tidak seharusnya dipermain-mainkan oleh sesiapa pun.

“Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sejak awal lagi sudah menegaskan akan menyerahkan jawatan perdana menteri dalam tempoh dua tahun kepada Anwar.

“Oleh itu, Anwar dan PKR sepatutnya menunggu dengan sabar kerana perdana menteri pasti akan menunaikan janjinya. Kerajaan PH tidak boleh memperalatkan pengundi Port Dickson semata-mata untuk kepentingan politik mereka,”kata Lim seperti disiarkan dalam China Press.

Menurut beliau lagi, Mahathir sudahpun memegang jawatan perdana menteri sejak empat bulan lalu dan seharusnya Anwar dan PKR tidak perlu terlalu tergesa-gesa untuk mengadakan pilihan raya kecil (PRK).

“Mungkinkah berlaku krisis dalaman antara komponen parti dalam PH sehingga terpaksa meminta wakil rakyat Port Dickson itu meletak jawatan?” soal Lim seterusnya.

Lim memberitahu, PKR sudah kerapkali sengaja “mencipta PRK” termasuklah mendesak bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meletak jawatan dalam perancangan mereka dengan apa yang dinamakan sebagai “Langkah Kajang”.

“Bagi PH dan PKR, mereka tidak pernah memikirkan pengundi dengan meminta wakil rakyatnya berhenti secara sewenang-wenangnya.

“Mereka juga begitu angkuh dengan menyatakan kemenangan pasti milik mereka. Sekiranya ada pandangan sedemikian, apakah ertinya demokrasi di negara kita?”

 -Sinar Harian-