Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) menyeru penggiat seni kreatif Malaysia untuk meneroka peluang pasaran seni global dalam usaha meningkatkan nilai eksport negara.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri II, Datuk Seri Ong Ka Chuan berkata, pihaknya menjangkakan nilai eksport industri seni negara akan meningkat antara 10 hingga 15 peratus menjelang akhir tahun ini.

“Tahun lalu, nilai eksport seni Malaysia mencecah RM3.3 juta berbanding hanya RM1.8 juta yang direkodkan pada 2012.

“Walaupun nilai eksport negara masih kecil namun Malaysia mempunyai ramai bakat termasuk seniman muda yang menjanjikan pelbagai jenis hasil dengan jalan cerita unik berdasarkan kepelbagaian serta warisan budaya yang ada di negara kita,” katanya pada majlis pelancaran Ekspo Seni Malaysia yang ke-11, di sini, semalam.

Beliau berkata, produk dan perkhidmatan Malaysia yang berkualiti tinggi dan mempunyai nilai estetika tersendiri dilihat sentiasa memenuhi standard antarabangsa, selain menepati kehendak pasaran.

“Dengan adanya ekspo seumpama ini, kami berupaya menyediakan platform untuk bakat seni negara dan antarabangsa dalam mengetengahkan kebolehan masing-masing disamping mengembangkan hubungan perniagaan mereka,” katanya.

-Harian Metro-