Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) mencadangkan Bajet 2018 menyediakan insentif untuk memacu pertumbuhan ekosistem automasi dalam kalangan pengilang tempatan dan mempercepat transformasi Industri 4.0 di negara ini.

Menteri Kedua MITI, Datuk Seri Ong Ka Chuan, berkata Industri 4.0 adalah agenda yang perlu diberikan keutamaan berikutan ia memberi kesan secara menyeluruh kepada pengeluaran dan daya saing Malaysia dalam pasaran antarabangsa.

"Kita mesti memberi pengilang insentif kerana mereka perlu melabur ke arah mengautomasikan kilang masing-masing dengan teknologi baharu. Mereka juga perlu beralih daripada proses pembuatan manual konvensional kepada pendigitalan.

"Kita perlu membantu pengilang, perusahaan kecil dan sederhana, untuk melengkapkan diri dengan teknologi tinggi di peringkat awal," katanya selepas merasmikan Persidangan Industri 4.0 Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) hari ini.

Ka Chuan berkata, penggiat industri pembuatan juga perlu meningkatkan saiz pasaran melepasi Malaysia untuk mencapai matlamat Industri 4.0, berikutan segmen domestik tidak cukup besar untuk mengekalkan kemapanan mereka.

Beliau turut menggesa pengilang berusaha menggunakan ciri-ciri menambah nilai dalam bahan yang digunakan dan bukan menjualnya secara mentah.

- Bernama