Dakwaan rasuah melibatkan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) dari sebuah negeri merupakan perkara serius, yang bukan sahaja mencabar integriti kerajaan negeri dan menggugat keyakinan orang ramai terhadap wakil-wakil rakyat yang dipilih, tetapi juga menjejaskan minat melabur oleh pelabur tempatan dan asing.

Justeru, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) wajar mengatur dan memberikan dengan segera segala perlindungan yang dipinta di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 oleh seorang pemberi maklumat sebagaimana dilaporkan, agar siasatan boleh dimulakan secepat mungkin.

Siasatan perlulah dijalankan secara telus, tegas dan menyeluruh tanpa rasa takut atau memihak memandangkan pihak yang bakal disiasat amat berpengaruh kerana mempunyai latar belakang perniagaan dan politik, malah ada yang memegang kuasa eksekutif dalam kerajaan negeri berkenaan.

Hasil siasatan perlulah didedahkan, dan mereka yang terlibat, baik pemberi mahupun penerima rasuah mestilah diheret ke mahkamah untuk diadili, bagi membersihkan masyarakat daripada segala bentuk gejala rasuah, selaras dengan komitmen Kerajaan Madani serta inspirasi rakyat.

Neow Choo Seong
Ketua Penerangan Pemuda MCA
13 November 2024

- PENERANGAN MCA