Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng supaya berhenti menjadi ‘burung kakak tua’ dengan mengitar semula pelbagai tuduhan liar.

Tambahan beliau, Guan Eng sepatutnya tampil mengemukakan bukti berhubung projek terowong dasar laut berhubung persoalan yang belum terjawab termasuk modal berbayar syarikat tujuan khas (SPV) Terowong Dasar Laut Pulau Pinang tidak menepati piawaian ditentukan, iaitu RM381 juta ketika pemberian kontrak oleh kerajaan negeri pada Mac 2013.

Dakwaan Guan Eng yang turut menyatakan bahawa Menteri Pengangkutan merangkap Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai cuba untuk mengelirukan rakyat dengan cubaan sabotaj dengan maklumat yang diperolehi daripada China Railway Construction Corporation International (CRCC), beliau berkata “jika soalan demi kepentingan awam seperti ini dikatakan sabotaj, saya rasa ramai ahli DAP ketika ini cuba berbuat demikian (sabotaj) terhadap ekonomi dan pembangunan negara menerusi sesi soal jawab di Parlimen serta pelbagai saluran lain.

“Tiong Lai hanya menjalankan tugasnya yang turut merangkumi bidang logistik dan kemudahan pengangkutan supaya kontroversi melanda CRCC angkara Guan Eng, tidak menjejaskan reputasi syarikat berkenaan dalam menyelesaikan pembinaan projek lain yang dilaksana menerusi kerjasama dengan kerajaan.

“Tindakan sama dibuat bagi memastikan orang ramai tidak menuding jari kepada CRCC, susulan kelewatan menjangkau lima tahun yang berlaku terhadap projek terowong dasar laut Pulau Pinang.

“Kenyataan Guan Eng seakan memberi gambaran keangkuhannya selepas memperlekehkan tanggungjawab memikul amanah kepentingan awam dan ketelusan membabitkan projek kerajaan negeri.”

-Barisan Nasional-