Kenyataan Media Naib Presiden MCA Datuk Tan Teik Cheng (14 Februari 2019)

Jangan anjurkan acara F1 – Gunakan wang untuk membantu rakyat

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad wajar melupakan hasratnya untuk menganjurkan kembali acara sukan permotoran Formula 1 (F1), sebaliknya menumpukan perhatian untuk membantu golongan B40 seperti meluaskan kategori penerima Bantuan Sara Hidup (BSH), dan bukannya membazirkan wang atas projek yang tidak praktikal dan tidak memanfaatkan rakyat.  

Sebelum ini, Dr Mahathir sendiri bersama-sama dengan Menteri Kewangan Lim Guan Eng dan setiausaha politiknya Tony Pua, Lim Kit Siang serta lain-lain pemimpin PH telah mendakwa perbendeharaan negara sudah kontang, dan hutang negara telah mencecah RM1 trilion, malah mengetatkan syarat permohonan untuk BSH atas nama berjimat cermat. Apakah logik serta formula ekonomi yang mereka pakai apabila acara F1 yang memakan belanja RM200 juta mahu diadakan semula?

Dr Mahathir nyata membuat kenyataan bercanggah apabila sanggup membelanjakan beratus juta untuk menganjurkan F1 tetapi pada waktu yang sama mendakwa negara hampir bankrap.

Pakatan Harapan sepatutnya mengagihkan wang RM200 juta tersebut untuk membantu golongan yang memerlukan dan masih hidup di bawah paras kemiskinan, serta meluaskan kategori penerima BSH supaya lebih ramai akan mendapat manfaatnya, dan bukannya untuk menganjurkan acara F1.

Selepas kerajaan baharu mengetatkan syarat permohonan BSH, ia bukan sahaja menjadi lebih susah untuk menerima bantuan kerajaan, tetapi juga menambahkan beban kehidupan rakyat. 

Kebanyakan pemohon yang layak menerima BSH adalah warga emas. Proses pemohonan yang rumit telah menimbulkan kesusahan kepada golongan tersebut dan menyebabkan rungutan.

Sejak Pakatan Harapan membentuk kerajaan baharu, ekonomi negara semakin merudum, pasaran saham mencatat kejatuhan, dan lebih ramai pelabur asing menarik diri. Dasar negara sentiasa menghadapi pusingan U, pembangunan perusahawan kecil dan sederhana (PKS) terbantut, dan dasar luar negara semakin huru-hara.

Walau pun negara kini menghadapi krisis ekonomi, tetapi PH masih gagal menanganinya, sebaliknya sanggup menghabiskan masa dan wang ringgit yang banyak ke atas projek tidak berfaedah seperti kereta nasional ketiga yang diketahui umum sebagai penbakar wang. Rakyatlah yang akan menderita akhirnya.

-MCA online-