14 Februari 2020

Kenyataan Media Timbalan Pengerusi Biro Publisiti MCA, Dato’ Leong Kim Soon 

Pelanjutan lesen Lynas satu pengkhianatan kepada rakyat  

Ke mana perginya suara kesemua 6 menteri-menteri DAP apabila Kabinet membuat keputusan secara dasar untuk melanjutkan lesen operasi kilang memproses nadir bumi, Lynas Corp selama 3 tahun lagi?

Apa juga pendirian ahli Parlimen Bentong, Wong Tack yang sebelum ini mengelarkan dirinya sebagai “wira alam sekitar” dan lantang melaungkan slogan “Selamatkan Malaysia, Hentikan Lynas”?

Sebelum ini, Pakatan Harapan, terutamanya DAP telah memainkan isu Lynas, malah juga menakutkan rakyat dengan mengatakan bahawa kilang Lynas akan meletup. Namun, selepas mereka menjadi kerajaan, mereka semua mendiamkan diri.  

menghasut kemarahan rakyat terhadap kerajaan BN dan menyebarkan ketakutan dengan mendakwa kilang Lynas akan menjejaskan kesihatan penduduk tempatan. Namun, selepas mereka menjadi kerajaan, DAP seakan sudah kehilangan “taring”. 

Mereka wajar menjelaskan kepada rakyat jika mereka ada membantah keputusan tersebut dalam mesyuarat Kabinet, atau adakah mereka hanya mendiamkan diri?

Apa yang jelas dilihat disini adalah DAP telah mengkhianati kepercayaan rakyat dalam isu ini, dan mereka seharusnya memohon maaf secara umum, terutamanya kesemua 6 menteri DAP.

Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad juga dilaporkan mengatakan bahawa keputusan Kabinet adalah muktamad. Ini membawa maksud bahawa DAP langsung tidak membantah keputusan ini di dalam Kabinet, walaupun di luar mereka membantah.

Malah, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq juga mendedahkan pada Ogos 16 tahun lepas bahawa kelulusan Kabinet kepada Lynas tidak menerima bantahan dalam mesyuarat, sekaligus membuktikan lagi bahawa DAP telah gagal membawa suara rakyat kepada kerajaan.  

-MCA online-