20 September 2023

Kenyataan media Ketua Pemuda MCA Kebangsaan, Datuk Nicole Wong

Beras kurang : Sila pastikan 'anak di rumah kenyang' dulu

Cadangan Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh supaya dihadkan penjualan beras tempatan hanya kepada rakyat Malaysia mempunyai merit untuk dipertimbangkan.

Kekurangan bekalan di pasaran telah mendorong kenaikan harga beras tempatan, sekali gus menambahkan lagi beban rakyat yang sedang menghadapi kos sara hidup semakin meningkat.

Apabila golongan tertentu dihadkan atau dilarang daripada membelinya, keberadaan beras tempatan di pasaran akan meningkat dan ini memudahkan rakyat kita, terutamanya yang berpendapatan rendah.

Keengganan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu, memperhalusi cadangan tersebut dengan alasan “warga asing pun perlu makan” dilihat satu pendekatan simplistik.

Kadar caj dan deposit kemasukan wad di hospital kerajaan, misalnya, adalah jauh lebih tinggi untuk warga asing berbanding warga tempatan, walaupun semua orang akan sakit, dan walaupun “mereka juga berkhidmat untuk negara kita”.

Apa yang penting, anak-anak kita, dan anak-anak jiran kita, sudah cukup kekenyangan.

-MCA online-