Setiap bulan ada sahaja kemalangan yang berlaku melibatkan kenderaan berat. Antaranya,

  • Jan 2025, seorang pemandu lori maut setelah kenderaan yang dipandunya melanggar bahagian belakang treler di KM132.3 Lebuh Raya Utara Selatan Arah Utara.
  • Feb 2025, sebanyak 14 kenderaan rosak selepas dirempuh sebuah lori dalam kejadian di Jalan Duvanson berhadapan Sekolah Kebangsaan Tansau, Putatan, Sabah.
  • Mac 2025, seorang lelaki berusia 43 tahun maut selepas Toyota Hilux dipandunya dirempuh lori treler di Kampung Minangkop, Tamparuli, Tuaran, Sabah.
  • April 2025, sebuah lori dipercayai mengalami masalah brek telah merempuh 15 kenderaan di susur keluar berdekatan Plaza Tol Serenia menghala ke Cyberjaya.

Dan yang terbaharu, seramai sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) maut selepas trak yang mereka naiki bertembung dengan sebuah lori yang membawa muatan batu.

Pemuda MCA merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga mangsa dan semoga roh mereka yang terkorban dicucuri rahmat.

Kini apakah jalan penyelesaian bagi memastikan tragedi sama tidak berulang? Lebih-lebih lagi membabitkan kenderaan berat. Adakah menambah kamera AWAS dapat mengurangkan kadar kemalangan?

Timbul persoalan dikalangan netizen, adakah tindakan Menteri Pengangkutan, Anthony Loke membuka lebih banyak 'PUSPAKOM' dianggap gagal kerana masih banyak kenderaan berat yang terlibat dengan kemalangan maut?

Selain berpunca daripada kecuaian pemandu itu sendiri, ia juga kerana kenderaan tidak berfungsi dengan baik susulan tidak diselenggara. Maka itu berlakunya pelbagai masalah seperti kegagalan brek, stereng serta tayar.

Begitu juga dengan tahap kesihatan dan kemampuan seseorang pemandu itu, adakah ia dipantau secara serius sebelum mereka dibenarkan memiliki lesen memandu kenderaan berat?

Justeru, Pemuda MCA mencadangkan agar proses tapisan dan pemantauan ini dilakukan secara berkala dan berterusan, bukan hanya dilakukan ketika permohonan atau pembaharuan lesen sahaja.

Pemuda MCA juga menggesa Menteri Pengangkutan merangkap Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke dapat mendedahkan secara telus jumlah saman yang dikeluarkan oleh JPJ sepanjang tahun 2024 dan jenis kesalahan utama yang disaman ketika sekatan jalan dilakukan terhadap kenderaan berat.

Kami turut berharap agar MOT dapat mendedahkan kepada umum apakah tindakan susulan yang diambil oleh pihak berkuasa terhadap pemandu yang mengulangi kesalahan sama? Adakah syarikat pemilik kenderaan komersial tersebut akan dikenakan tindakan atau hanya ditanggung oleh pemandu?

Rakyat perlu tahu sejauh mana penguatkuasaan benar-benar dijalankan secara serius, dan bukan sekadar operasi bermusim. Ketelusan ini penting untuk bina semula kepercayaan rakyat terhadap sistem keselamatan jalan raya.

Kita tidak mahu menteri yang hanya 'champion' dalam mereformasikan sistem pemeriksaan kenderaan, tetapi kes kemalangan maut terus meningkat.

Saw Yee Fung
Setiausaha Agung Pemuda MCA
14 Mei 2025