
MCA menyeru agar satu sesi dialog terbuka diadakan melibatkan semua pemegang taruh, demi membina satu ekosistem ekonomi digital yang sihat dan seimbang — di mana platform e-dagang, peniaga dan pengguna sama-sama mendapat manfaat, menjelang pelaksanakan beberapa mekanisme caj baharu e-dagang Shopee bermula 16 Julai depan.
Naib Presiden MCA merangkap Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Ekonomi & PKS MCA, Datuk Ir Lawrence Low dalam sidang medianya bersama pengusaha e-dagang semalam, 11 Julai 2025 berkata, semua caj ini merangkumi setiap aspek operasi penjual di platform, yang memberi tekanan kos kepada peniaga dan secara tidak langsung mendorong kenaikan harga barang yang akhirnya ditanggung oleh pengguna.
Beliau mengambil contoh, Caj Sokongan Platform sebanyak 50 sen ditambah 8% SST dikenakan untuk setiap pesanan (jumlah RM0.54) terhadap penjual yang telah memuat naik produk lebih 120 hari, Caj Transaksi standard sebanyak 3.5%, (3.78% selepas SST), caj tambahan 4.5% apabila dijual secara ansuran, serta pengenalan caj RM0.12 (termasuk SST) untuk pengeluaran ke-4 dan seterusnya dalam seminggu.
“Sebahagian peniaga kecil menghadapi kesukaran untuk terus bertahan apabila keuntungan merosot di bawah mekanisme baharu ini. Ada yang terpaksa meninggalkan platform e-dagang. Mereka berharap pihak platform boleh mempertimbangkan pelan yang lebih seimbang dan menang-menang,” kata Low, sambil menambah, lebih daripada 2,000 penjual e-dagang telah menandatangani petisyen berkaitan caj tersebut setakat ini.
“Pemain industri mahu tujuan dan objektif asal platform e-dagang iaitu membantu peniaga kecil memulakan perniagaan serta mengembangkan pasaran dipelihara dan menggesa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) bersama Kementerian Komunikasi segera menyiasat sama ada struktur caj ini mematuhi prinsip perdagangan adil.”
Pada masa yang sama, Low juga mengulangi pendirian MCA bahawa kerajaan sepatutnya mengkaji semula implikasi pelaksanaan cukai SST terhadap peniaga kecil termasuk pengusaha e-dagang sambil mempertimbangkan langkah sokongan mahupun pengecualian sementara bagi tempoh peralihan ini.
"Barangan keperluan asas seperti alat tulis sepatutnya dikecualikan daripada SST sama sekali bagi mengurangkan beban sektor pendidikan, terutamanya pelajar dan guru."
Tegas Low, kerajaan juga harus merangka dan melaksanakan segera Kod Etika Platform E-Dagang, menubuhkan satu mekanisme pengisytiharan caj platform agar sebarang perubahan masa depan dibuat secara telus, serta memberi bantuan serta sokongan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS), dan tidak membiarkan ekonomi platform e-dagang berkembang tanpa kawalan.
Beliau turut meminta pihak platform supaya melanjutkan tempoh penyesuaian polisi baharu ini untuk memberi ruang kepada para penjual menyesuaikan diri, serta menyatakan secara jelas formula pengiraan setiap caj, bagi mengelakkan caj tersembunyi.