Insiden penduduk-penduduk orang asli di Kuala Koh, Gua Musang, Kelantan mengidap penyakit sehingga menyebabkan 14 kematian, menarik perhatian seluruh rakyat, yang rata-rata melahirkan rasa bimbang atas kesihatan masyarakat tersebut. Semalam, Pasukan Respons dan Servis Masyarakat MCA (CRSM) melawat kampung tersebut bagi memahami keadaan mayarakat setempat serta menghulurkan bantuan.

 

Pagi semalam, pasukan CRSM diketuai Ketua Pasukan Dato’ Lim Chong Ly, bersama-sama para pemimpin MCA tempatan, telah mengunjungi Hospital Gua Musang bagi menyampaikan 20 kotak tumudung jenis N95 serta 40 bungkus bahan makanan  kepada pihak hospital yang kemudiannya akan mengagihkan kepada keluarga masyarakat orang asli yang memerlukan.

 

Pasukan CRSM kemudian menuju ke Kuala Koh. Memandangkan kampung berkenaan telah dikuarantin, petugas-petugas CRSM memunggah makanan dan air minuman ke khemah bantuan sementara dan diterima oleh wakil Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) yang bertugas bagi disampaikan ke tangan orang asli.

 

Rombongan CRSM diberitahu wakil NADMA bahawa bahan makanan sudah mencukupi, yang kekurangan adalah alatan penjagaan kesihatan. Dato Lim terus mengarahkan supaya barangan berkenaan dibeli, seperti ubat dan berus gigi, syampu, disinfektan, tuala wanita dan sebagainya untuk dihantar segera hari ini.

 

Beliau melahirkan rasa simpatinya atas kematian 14 nyawa serta berpuluh lagi masih dirawat. Ramai di kalangan masyarakat orang asli ini kini berasa panik dan hanya mampu mengebumikan mereka yang meninggal secara tradisional, tanpa apa-apa pengetahuan dan langkah berjaga-jaga terhadap penyakit, apatah lagi mendapatkan rawatan.

 

Katanya, semenjak kes yang pertama dilaporkan pada 2 Mei, 14 orang telah meninggal setakat ini. Namun tidak terdapat apa-apa laporan dan keterangan lanjut, jauh sekali punca penyakit, diumumkan pihak kerajaan. Keadaan ini amat membimbangkan.

 

Beliau kesal dengan tindakan kerajaan yang lambat serta cuba menyembunyikan keadaan sebenar, dan berpendapat segala masalah mesti ditangani dari puncanya. Sehubungan itu, beliau menggesa supaya kerajaan mengambil langkah segera untuk menyiasat punca penyakit misteri yang dihidapi masyarakat tempatan bagi menyelamatkan mereka, dan membawa mana-mana pihak yang mungkin terlibat ke muka keadilan.