14 Julai 2018

Kenyataan Media Naib Pengerusi Pemuda MCA Nicole Wong Siaw Ting

Syarat-syarat baharu terhadap perkhidmatan e-hailing membebankan pemandu dan penumpang

Pada 11 Julai 2018, Menteri Pengangkutan Anthony Loke mengumumkan bahawa perkhidmatan e-hailing akan dikawal selia. Ini akan menyusahkan kedua-dua pemandu dan penumpang e-hailing; dan akhirnya para pengguna terpaksa menanggung beban yang berat. 

Kementerian Pengangkutan telah meletakkan pelbagai halangan yang menjejaskan para pemandu dan pengguna e-hailing atas alasan bahawa perkhidmatan tersebut harus dikawal selia. Antara syarat-syarat baharu adalah semua kenderaan yang berusia lebih daripada tiga tahun harus melalui pemeriksaan tahunan, semua pemandu diwajibkan mendapatkan lesen Kenderaan Pengangkutan Awam (PSV) dan melalui pemeriksaan kesihatan, serta lulus modul latihan khas. Para penumpang pula harus mendaftarkan maklumat kad pengenalan atau pasport sebelum dibenarkan menggunakan aplikasi e-hailing.

Kelebihan utama perkhidmatan e-hailing adalah faktor kemudahan penggunaannya bagi semua orang. Contohnya, sebelum ini seseorang hanya perlu mendaftarkan diri dengan sebuah syarikat e-hailing sebelum dibenarkan memandu untuk mencari nafkah dalam masa lapangnya. Kemudahan proses ini juga secara langsung menambahkan peluang pekerjaan. Akan tetapi, syarat-syarat baharu Kementerian Pengangkutan ini amat menyusahkan, dan tidak menggalakkan pemandu untuk menyertai, atau meneruskan, pekerjaan ini.

Lama kelamaan, para pemandu e-hailing akan terpaksa mengharungi proses birokrasi yang rumit. Syarat-syarat baharu Kementerian Pengangkutan dijangka akan meningkatkan kos operasi, dan akhirnya, para penumpang terpaksa menanggung kos tambahan selain dari menghadapi kesusahan menggunakan perkhidmatan e-hailing.

Ia harus ditekankan bahawa kerajaan tidak perlu melaksanakan pelbagai syarat yang menyusahkan semata-mata untuk meningkatkan daya saing industri teksi. Sebaliknya, Pakatan Harapan patut mencontohi Canberra, Australia dimana fi lesen teksi dikurangkan, dan aplikasi e-hailing diperkenalkan untuk mengintegrasikan teksi dengan pasaran, sekaligus membantu industri teksi menjana pendapatan di samping membuka peluang baharu untuk mereka. 

Nicole Wong Siaw Ting
Naib Pengerusi Pemuda MCA

-MCA online-