14 Ogos 2018

Kenyataan Media Naib Pengerusi Wanita MCA Senator Dato’ Ong Chong Swen

Bagaimanakah jumlah pampasan untuk memansuhkan tol meningkat sehingga RM400 bilion?

Dakwaan Menteri Kerja Raya Baru Bian bahawa pemansuhan tol akan menyebabkan kerajaan membayar pampasan melebihi RM400 bilion kepada syarikat konsesi amat meragukan, kerana sebelum ini jumlah pampasan yang didakwa oleh Tony Pua perlu dibayar hanya RM25 bilion.

Baru Bian disaran merujuk kepada Pegawai Khas kepada Menteri Kewangan, Tony Pua untuk mendapat angka yang betul demi membolehkan kerajaan Pakatan Harapan menunaikan janjinya untuk memansuhkan tol.

Ini kerana pada tahun 2009, Tony Pua pernah mendakwa bahawa kajian DAP telah mendapati kos membeli aset konsesi lebuhraya adalah RM25 bilion. Malah beliau juga menggesa kerajaan membeli konsesi-konsesi tol demi kebajikan rakyat. Walaupun kajian tersebut dibuat 9 tahun lalu, namun ia mustahil kos tersebut boleh meningkat sehingga RM400 bilion! 

Oleh itu, Baru Bian digesa mendedahkan cara pengiraaannya sehingga mencecah angka RM400 bilion. Adakah jumlah ini termasuk bayaran pampasan sebagai ganti rugi konsesi lebuhraya? Atau adakah ini satu kesilapan titik perpuluhan, dan jumlah kos sebenarnya adalah RM40 bilion?

Jika Pakatan Harapan menggunakan alasan kos tinggi untuk mengelak tanggungjawabnya, maka Baru Bian harus merujuk kepada Tony Pua. Sebagai seorang pegawai khas kepada Menteri Kewangan, ditambahkan pula dengan kelayakan ekonominya, Tony Pua mampu membantu kerajaan merendahkan jumlah pampasan kepada RM25 bilion atau harga yang sesuai demi membantu Pakatan Harapan menunaikan janjinya untuk menghapuskan tol dalam tempoh 100 hari selepas mengambil alih kerajaan.

Senator Dato’ Ong Chong Swen
Naib Pengerusi Wanita MCA

-MCA online-