Kenyataan Media Naib Presiden MCA Senator Dato’ Sri Ti Lian Ker (15 Februari 2019)

Kerajaan disaran lebih prihatin terhadap kepentingan pemandu bas dalam penukaran SPAD kepada APADs

Para menteri disaran lebih prihatin terhadap kesan-kesan sebarang pertukaran institusi ataupun dasar yang bakal menjejaskan pihak berkepentingan atau rakyat. Sejak Pakatan Harapan mengambil alih kerajaan, barisan menteri sering mengumumkan pertukaran atau perubahan dasar tanpa membuat kajian terlebih dahulu atau mengambil kira kesan-kesan negatif terhadap rakyat. Ini menyebabkan banyak keputusan ditarik balik atau pusingan U dibuat.  

Contohnya, penukaran Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) kepada Agensi Pengangkutan Awam Darat (APAD) telah medatangkan kesan kepada pemandu atau pemunya bas ekspres, bas persiaran, bas sekolah dan bas catar.   

Pertukaran institusi tersebut dibuat terlalu cepat dan gagal mengambil kira bagaimana keputusan tersebut bakal menjejaskan pihak berkepentingan. Gesaan Gabungan Pengusaha Bas Ekspress Semenanjung kepada kerajaan untuk mencari penyelesaian ke atas masalah yang menyebabkan kelewatan pembaharuan permit membuktikan ketidakprihatinan kerajaan semasa melaksanakan apa-apa pertukaran dasar. Masalah tersebut sebenarnya boleh dielak jika kajian dan pertimbangan dibuat terlebih dahulu bukannya membuat keputusan secara tergesa-gesa.

Selepas APAD mengambil alih tugas SPAD, pengusaha bas telah meluahkan keluhan apabila permit bas mereka tidak diperbaharui sejak Jun 2018.

Sekiranya peralihan tugas dari SPAD kepada APAD dikaji sebelum dilaksanakan, masalah ini boleh dielak dan para pengusaha bas tidak perlu mengalami kesulitan tersebut. Kajian mendalam dan maklum balas sepatutnya dilakukan sebelum peralihan tugas, garis panduan dipamer dalam laman web APAD dan Kementerian Pengangkutan, dan notis dan tempoh masa secukupnya diberi kepada pemegang permit bas. 

Dengan kebuntuan yang dihadapi atas pembaharuan permit, pengusaha bas merungut bahawa mereka terpaksa membayar untuk perkhidmatan pihak luar, sekaligus menyebabkan peningkatan kos operasi yang terpaksa ditanggung pihak pengguna. Tambahan pula, pengusaha bas juga tidak boleh memperbaharui cukai jalan atau insurans mereka, ataupun menghantar kenderaan mereka untuk diperiksa di Puspakom.

Industri pengangkutan dan pelancongan yang sangat bergantung kepada bas turut terjejas.

Penjelasan Menteri Pengangkutan bahawa kelewatan tersebut disebabkan prosedur dan birokrasi oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Awam adalah tidak munasabah. Beliau dan kementeriannya sepatutnya mengambil kira faktor birokrasi dan kerumitan tersebut sebelum membuat apa-apa pengumumnan atau keputusan tanpa kajian mendalam terlebih dahulu. Sekarang, rakyat yang menderita dan menanggung akibat yang sepatutnya boleh dielakkan. Kerajaan sepatutnya lebih prihatin, bertanggungjawab dan bertimbang rasa terhadap mangsa-mangsa keadaan ini.

MCA menyeru Menteri Pengangkutan Anthony Loke untuk segera menyelesaikan masalah tersebut. Langkah sementara sepatutnya diambil demi kepentingan pengusaha bas. Sementara pemimpin PH masih membuat perubahan dengan sewenang-wenangnya, rakyat biasa terutamanya penumpang yang bergantung kepada pengangkutan awam dikecewakan dan terpaksa menanggung kos, perbelanjaan serta penyeksaan yang lebih. 

-MCA online-