MCA tidak mahu meletakkan harapan tinggi dan mahu bersikap lebih realistik pada PRK Balakong.

Timbalan Presiden MCA, Datuk Seri Wee Ka Siong berkata, parti itu juga tidak mahu berlagak untuk memenangi PRK Balakong.

“Siapa tidak mahu menang, namun kita harus lebih realistik, kita dapat merapatkan majoriti undi pun sudah mencukupi.  

"Biar pengundi yang menentukan siapa calon yang layak untuk menang di PRK Balakong,” katanya.

Menurutnya, MCA dijangka akan meminta bantuan jentera daripada bekas parti komponen BN iaitu Gerakan.

“Kita akan meminta bantuan jentera daripada sesiapa sahaja termasuk Gerakan, mereka telah memaklumkan mahu tolong jentera MCA. Saya turut mengalu-alukan sokongan jentera daripada semua pihak,” katanya.

Ka Siong sekali lagi mengakui MCA adalah parti “underdog” (bukan pilihan) pada PRK Balakong 8 September ini dan berdepan laluan getir untuk menyingkirkan DAP dari kerusi itu.

“Saya berharap pengundi akan memberi peluang kepada MCA menjadi suara mereka pada peringkat Dun Selangor, sekali gus berperanan  sebagai pemantau serta menyumbang kepada semak dan imbang kerajaan negeri,” katanya.

Beliau berkata, MCA tidak akan mendedahkan strategi kempen parti itu kepada umum.

“Kita tidak akan duduk sahaja tanpa melakukan apa-apa, sepanjang tempoh kempen, kita akan menjemput media melihat sendiri kempen MCA di Balakong,” katanya.

MCA buat julung kalinya tidak akan menggunakan logo BN dalam PRK Balakong.

Terdahulu Presidennya, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, keputusan itu adalah sebahagian ‘pembaharuan dalaman’ susulan prestasi lemah dalam PRU14.

MCA sudah dengar suara orang ramai dan parti itu bersetuju mereka memerlukan pembaharuan dalaman.

Keputusan menggunakan logo MCA ialah sebahagian daripada banyak pembaharuan yang akan berlaku dalam masa terdekat.

-Sinar Harian-