Anggota Parlimen Ayer Hitam Wee Ka Siong menggesa kerajaan berjanji bahawa projek kereta nasional ketiga tidak akan diselamatkan menerusi 'bail-out' atau menerima layanan istimewa.

Beliau berkata janji kerajaan bahawa syarikat baru itu akan dibiayai 100 peratus oleh sektor swasta adalah tidak mencukupi.

Ini kerana walaupun Proton dimiliki sektor swasta 100 peratus sejak 2016, kerajaan telah menyelamatkan Proton dengan pinjaman mudah sebanyak RM1.5 bilion bagi membolehkan ia membayar balik hutang kepada vendor dan menyelamatkan kira-kira 30,000 kakitangan Proton daripada kehilangan pekerjaan.

"Sama ada Proton dimiliki oleh syarikat swasta atau tidak, selama 30 tahun Proton wujud, rakyat Malaysia harus menanggung sebanyak RM360 bilion dalam bentuk harga kereta yang lebih tinggi dan pinjaman yang lebih tinggi, premium insurans kereta dan kos tukar alat ganti yang lebih tinggi.

"Selain menjamin bahawa Proton akan 100 peratus dibiayai oleh sektor swasta, menteri kewangan harus memberi jaminan bahawa tidak ada perlindungan akan dikenakan yang akan menyebabkan harga kereta meningkat.

"Beliau juga harus menjamin bahawa projek kereta nasional ketiga juga tidak akan diselamatkan oleh kerajaan melalui pinjaman langsung, geran atau jaminan sekiranya ia mengalami masalah kewangan.

Katanya, syarikat kereta nasional milik swasta tidak sepatutnya diberi layanan istimewa, mahupun diberikan subsidi secara tidak langsung seperti dana yang digunakan kerajaan untuk membeli sebuah bangunan pada harga yang tinggi bagi menyelamatkan Perwaja Steel suatu ketika dahulu.

Wee mengulas kenyataan Menteri Kewangan Lim Guan Eng di Dewan Rakyat semalam, yang mengulangi bahawa projek kereta nasional baru yang diilhamkan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad itu akan dibiayai sepenuhnya oleh sektor swasta.

Beliau berkata sekiranya Lim dapat memberikan jaminan secara bertulis, maka projek kereta kebangsaan ketiga itu akan mendapat sokongan semua rakyat Malaysia termasuk dirinya.

-Malaysiakini-